Jumaat, 11 Januari 2019 | 8:37pm
PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ulang tahun Siti 'trending' di laman sosial

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang genap berusia 40 tahun, hari ini, diraikan peminat dengan ucapan selamat yang memenuhi 'timeline' media sosial.

Sejak awal pagi tadi, ucapan berserta tanda pagar Siti Golden 40th menjadi sohor kini di media sosial, dengan hampir 1,200 gambar artis kesayangan ramai itu turut dikongsi oleh mereka.

Ciapan #sitigolden40th menjadi ‘trending’ di Twitter dengan lebih 2,000 ‘tweet’ dilayangkan, diikuti perkongsian menggunakan nama Tok Ti dan Siti Nurhaliza.

Menerusi laman Instagramnya, Siti memuat naik gambar ciapan sohor kini itu dengan kapsyen berbunyi: “Segan pun ada ni.... Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak ye”.

Stesen radio seluruh negara juga tidak ketinggalan menghargai penyanyi nombor satu negara itu pada hari lahirnya dengan memutarkan lagu popular dendangan beliau dan mengimbau kembali zaman kegemilangannya dalam industri muzik.

Seawal jam 7 pagi tadi, Siti bersiaran di Bernama Radio dalam sesi temubual khas menerusi telefon bagi mengimbas kembali pembabitannya dalam bidang seni.

Suria FM pula memutarkan 40 lagu terbaik Siti tanpa henti, dari jam 11 pagi, selain turut menyiarkan persembahkan medley dendangan ibu kepada Siti Aafiyah itu yang dinyanyikan oleh penyampainya, Feeya Iskandar dan Raja Syahiran.

Tidak ketinggalan, stesen radio di bawah Media Prima Berhad, Hot FM, yang meraikan ulang tahun kelahiran penyanyi Anta Permana itu menerusi konsert digital #BombastikCTDK. Ia bersiaran di laman Facebook radio terbabit pada jam 9 malam.

Konsert yang menampilkan Neon Band, Kugiran Masdo, Sarah Suhairi, Andi Bernadee dan Eza Edmond itu akan menyaksikan artis terbabit mempersembahkan lagu popular bintang kelahiran Pahang berkenaan.

Sementara itu, Kool FM menyiarkan lagu popular Siti dalam pelbagai genre mulai jam 11 pagi hingga 1 tengah hari, bersama penyampainya, Rea.

Antara rakan artis yang turut melayangkan ucapan menerusi perkongsian foto mahupun video di laman sosial mereka termasuk Khai Bahar, Ajak, Haiza Hanafi, Siti Nordiana, Fara Fauzana dan teman rapatnya, Krisdayanti.

1163 dibaca
Berita Harian X