Jumaat, 11 Januari 2019 | 5:23pm
Zamani teruja merakamkan single baharu berjudul Aduh ciptaan teman seperjuangan, Faizal Tahir (dua dari kanan). Foto : IG Zamani

Zamani rakam lagu Faizal Tahir

KUALA LUMPUR: Mengotakan janji, penyanyi Zamani sedang dalam proses merakamkan single terbaru ciptaan Faizal Tahir berjudul Aduh.

Bekas vokalis Slam yang mencetus kontroversi selepas muncul dalam musim kelima program realiti, Gegar Vaganza (GV5) ini, tidak sabar berkongsi lagu balada itu dengan peminat, sempena tahun baharu.

“Sesi rakaman pertama dibuat pada 8 Januari lalu. Tak dinafikan, sukar menyempurnakan tugas itu selepas sekian lama tidak berada dalam studio.

“Nak nyanyi pun susah apabila kena buat seperti yang dimahukan Faizal. Biasalah, saya selesa dengan cara saya, mereka pula dengan cara sendiri,” katanya kepada BH Online.

Namun, bagi Zamani, apa yang dilalui dianggap cabaran dalam meneruskan kelangsungan karier seni.

“Insya-Allah, nanti biasalah. Saya percaya mereka mahukan yang terbaik. Saya juga sama... Sudah tentu saya tidak mahu tampil dengan lagu yang ‘tangkap muat’ sahaja,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai single Aduh, Zamani memberitahu, lagu itu berkisar kisah cinta.

“Saya percaya topik cinta sinonim dengan diri kita. Lagu ini adalah mengenai keluhan nasib mereka yang gagal bercinta.

“Ia lebih kepada rungutan... Biasalah, dalam hidup ini cinta tak semestinya menyebelahi kita dan segala yang berlaku mematangkan diri kita,” katanya.

Sebelum ini, Zamani pernah kecewa dengan single Tambatan Hati yang dihasilkan pada 2016, tidak mendapat sambutan.

Bagaimanapun, sebaik Faizal menawarkan peluang merakamkan Aduh, dia berubah fikiran.

“Saya lihat ini sebagai tuah dan rezeki. Saya juga meminati Faizal dan lagu ciptaannya. Jika diikutkan, lagu ini mahu dirakamkan sebaik GV5 selesai, namun, masa tidak sesuai.

“Jika tiada aral melintang, Aduh akan dilancarkan pada akhir bulan depan atau awal Mac,” katanya.

Rabu lalu, Zamani diumumkan bakal tampil pada Festival Muzik Antarabangsa, KL Jamm di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), April depan.

Selain Zamani, artis lain adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Zainal Abidin, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Ramli Sarip, OAG dan Amelina.

Tidak ketinggalan, Santesh, Sheezay, Rabbit Mac, Burn dan PU4LYF.

Tiket KL Jamm anjuran Music Unlimited International Sdn Bhd boleh didapati dengan melayari www.kljamm.com mulai 17 Januari ini.

1586 dibaca
Berita Harian X