Khamis, 10 Januari 2019 | 6:30pm
SABRINA bersama dua anaknya, Adrian (kiri) dan Aryan. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Anak buat Sabrina 'bernafas' semula

KUALA LUMPUR: Pelakon Sabrina Ali mengakui, tiga anak memberinya kekuatan untuk bangkit melawan kemurungan yang dialami sejak 2006.

Pelakon yang popular menerusi filem Khurafat - Perjanjian Syaitan dan Munafik itu berkata, pemergian ayah tercinta dan perpisahan dengan suami kedua pernah membuatkan dia hilang pertimbangan diri.

“Saya pelik apabila orang luar suka mengambil tahu kehidupan saya. Hakikatnya, sebagai selebriti, gerak-geri saya sering menjadi perhatian peminat.

“Saya jadi bimbang dan takut bertemu orang, malah sukar mempercayai, biarpun kawan rapat sendiri.

“Mungkin disebabkan sudah selalu terkena, saya jadi fobia untuk rapat dengan orang lain.

“Namun, semua itu pengalaman lalu ketika fikiran saya tidak menentu,” katanya.

Sabrina atau nama sebenarnya Sabrina Ali Dad Khan, 38, berkata, memang sukar untuk bangkit semula, terutama selepas berpisah buat kali kedua pada 2014.

"Namun, apabila memandang wajah anak yang masih kecil, saya jadi kuat. Bukan sekali ujian menerjah diri, malah sejak remaja lagi, hidup saya sering diduga,” katanya.

Pelakon filem Dorm Melati, Makrifat Cinta dan KL Special Force itu berkata, dia memperoleh kekuatan apabila kembali mendekatkan diri kepada Allah.

Perlahan-lahan rezekinya kembali terbuka apabila dia menerima tawaran berlakon drama dan filem, membuatkan hidupnya kembali bernyawa.

“Saya tidak serik untuk berkahwin lagi, cuma lebih berhati-hati. Saya hanya ikut apa yang ditentukan Allah.

“Saya tidak terdesak mencari jodoh, tetapi berharap akan ditemukan juga dengan insan yang baik. Saya perlukan suami untuk anak saya,” katanya.

Akui Sabrina, dia kini bahagia dan tenang bersama anak, meskipun tanpa lelaki menemani sebagai suami.

"Sungguhpun sudah berpisah, hubungan dengan dua bekas suami masih baik kerana anak. Saya tidak pernah menghalang mereka bertemu anak.

"Kisah lalu biarkan ia pergi tanpa dendam dan sengketa," katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran telefilem, KL Gangster Underworld, arahan Faisal Ishak untuk siaran Iflix.

Hasil perkahwinan pertama, Sabrina dikurniakan cahaya mata perempuan, Ariyana, 11, manakala Syed Aryan Khan, 7, dan Syed Adrian Khan, 5, menerusi perkahwinan kedua.

Berita Harian X