Selasa, 8 Januari 2019 | 9:17pm
Penyanyi, Ariff Bahran atau nama sebenar Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari. - NSTP/Akma Bakar

Taktik Ariff Bahran nyanyi lagu saduran menjadi

• Menganggap diri masih hijau dan memerlukan masa untuk mengukuhkan nama dalam industri, penyanyi Ariff Bahran menjadikan media sosial sebagai platform memperkenalkan diri.

• Enggan dilihat terlalu ‘low profile’ atau eksklusif, Bahran cuba meneroka cabang seni lain demi memperkukuhkan bakat selain mengejar impian menjadi artis versatil.

• Menjadikan taktik menghasilkan video lagu saduran dan dikongsi bersama peminat di media sosial agar terus dikenali.

• Menghasilkan lirik lagu untuk artis lain agar bakat lebih menonjol.

• Menjadikan 2019 sebagai tahun bekerja keras dengan menghasilkan lebih banyak single dan album penuh.

• Lagu Juara Dusta dianggap karya pembuka tirai tahun baharu selepas popular dengan single, Kata Akhirmu.


Bahran menjadikan 2019 sebagai tahun untuknya bekerja keras bagi menghasilkan lebih banyak single dan album penuh. - NSTP/Akma Bakar

KUALA LUMPUR: Sekadar muncul dengan single hit tahun lalu tidak cukup untuk mengukuhkan kedudukan diri.

Biarpun lagu Kata Akhirmu ‘meletup’ dan menarik perhatian pendengar, malangnya, Ariff Bahran terus senyap.

Ini berikutan tiada produk baharu selepas meninggalkan Big Stage, iaitu program realiti yang menghimpunkan bakat remaja atau mengikut istilah semasa, ‘budak-budak baru nak up’ (BBNU).

Sedar situasi itu, penyanyi berusia 20 tahun ini menjadikan media sosial sebagai medan untuk terus aktif.

Bahran mengaku masa diambil untuk menghasilkan single kedua, Juara Dusta, agak lama.

Lantas, Bahran menjadikan 2019 sebagai tahun untuknya bekerja keras bagi menghasilkan lebih banyak single dan album penuh.

“Sebenarnya, sebagai artis, kita banyak menunggu untuk menghasilkan sesebuah single atau album. Ketika single pertama hangat diputarkan, saya biarkan lagu itu terus menambat hati pendengar.


Bahran mengambil peluang berkarya dan menghasilkan lirik lagu untuk penyanyi lain. - NSTP/Akma Bakar

“Namun, tak sangka, masa untuk melancarkan single kedua melalui tempoh yang panjang.

“Sebenarnya, lagu itu sudah siap ketika saya masih bertanding dalam Big Stage tetapi agak lambat dikeluarkan. Mungkin sebab itu orang beranggapan saya sudah menyepi,” katanya.

Tidak mahu dirinya terus dianggap sepi tanpa produk baharu, Bahran kerap ‘bermain’ di media sosial dengan menghasilkan video-video lagu saduran.

Malah, ketika dirinya dilihat seakan menghilang, Bahran mengambil peluang berkarya dan menghasilkan lirik lagu untuk penyanyi lain. Ini dilakukan agar bakatnya tidak terarah kepada bidang seni suara semata-mata.

“Kalau diam selepas melancarkan single, saya percaya artis itu tidaklah sepi begitu saja. Sebaliknya, ada sesuatu yang dilakukan.

“Begitu juga dengan saya yang menggunakan masa yang ada untuk perkara bermanfaat.

“Media sosial adalah medium paling mudah untuk saya dilihat masih aktif. Kalau saya tak ada single, saya akan berkongsi kisah kehidupan saya dengan peminat,” katanya.


Selain video, Bahran sering buat lagu saduran di media sosial dan di laman YouTube. - NSTP/Salhani Ibrahim

Bahran berkata, dia mengelak terus menyepi kerana bimbang dilupakan.

“Saya tak boleh diam sebab takut nanti orang mula lupakan saya. Selain video, saya sering buat lagu saduran di media sosial dan di laman YouTube.

“Daripada situ, peminat dapat akses mengenai perjalanan seni saya,” katanya yang berkarya untuk teman seperjuangan, Sufian Suhaimi dan Faris Fauzi.

Selepas setahun bertapak dalam industri, Bahran melihat peluang yang terbentang luas untuknya mempelbagaikan bakat.

Mahu meneroka semua cabang seni yang ada, permulaan langkah dalam bidang lakonan dilihat sebagai eksperimen untuk melangkah jauh.

“Dalam tempoh ini, saya banyak belajar mengenai industri. Saya mengikuti kelas nyanyian dan cuba membabitkan diri dalam bidang lakonan serta iklan komersial.


Bahran pada Konsert Big Stage minggu pertama yang bertemakan lagu viral di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ogos tahun lalu. - NSTP/Faiz Anuar

“Saya pula masih baharu dan hijau dalam industri. Selepas keluar dengan single pertama, saya dipanggil untuk sertai Big Stage membuatkan masa saya banyak dihabiskan kepada program itu.

“Bagi memperkukuhkan lagi nama saya dalam industri, saya rasa inilah masanya untuk fasa baharu hidup saya dengan mencuba pelbagai peluang yang ada.

“Saya tak nak harapkan orang lain. Langkah yang saya ambil ini bukan untuk mencari perhatian, sebaliknya mencari lebih ilmu dalam industri daripada mereka yang berpengalaman.

“Ini juga usaha saya bertahan lama dalam industri,” katanya.

Memiliki lima single yang masih belum dikomersilkan, Bahran tidak kisah andai karyanya lebih menonjol berbanding dirinya. Bagi anak muda ini, keadaan itu akan membuatkan khalayak lebih mengenali karya ciptaannya.

Berita Harian X