Selasa, 8 Januari 2019 | 4:43pm
NAMA Syazwan menjadi sebutan penonton hasil lakonannya dalam drama Pujaan Hati Kanda, siaran slot Akasia TV3. - Foto Mahzir Mat Isa

Syazwan diugut bunuh gara-gara Pali

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syazwan Zulkifli, terkejut dengan sikap segelintir pihak yang terlalu beremosi dengan wataknya sebagai Pali dalam drama, Pujaan Hati Kanda, sehingga membuat ugutan bunuh.

Syazwan berkata, dia tidak kisah jika penonton mengecam watak dilakonkannya, namun apabila kebencian itu menjadi bersifat peribadi, ia membuatkan dirinya tidak tenteram.

"Saya suka apabila peminat memberikan komen positif atau negatif terhadap lakonan saya. Ia memberikan saya semangat untuk terus berusaha menjadi pelakon lebih baik.

"Begitupun, apabila kecaman mula berubah kepada bersifat peribadi, ia tidak patut berlaku. Peminat drama kali ini agak berlebihan hinggakan saya menerima mesej berbaur ugutan, seperti mahu meracun, memukul, malah membunuh saya.

"Bagi saya, tindakan sebegitu sudah dikira melampau. Sebagai manusia, sedikit sebanyak ia mengganggu fikiran dan ketenteraman diri," katanya kepada BH Online.

Dedah Syazwan, 31, lebih mengejutkan, antara individu yang mengecamnya terdiri daripada kalangan kanak-kanak sekolah.

Sejak akhir-akhir ini, nama Syazwan menjadi bualan dalam kalangan netizen apabila watak Pali lakonannya dianggap begitu jahat, sehinggakan tanda pagar #kecampali diwujudkan.

Kemunculan Syazwan dalam drama yang kini menemui penonton di TV3 itu turut menaikkan kembali namanya, malah Pujaan Hati Kanda juga ‘trending’ di Twitter.

Pelakon itu sendiri amat bersyukur apabila drama terbabit menghangatkan kembali namanya yang agak sepi, sejak setahun lalu.

"Pujaan Hati Kanda adalah drama pertama saya pada 2018, dengan penggambarannya bermula pada Oktober. Seperti biasa, setiap kali diberi peluang berlakon, semestinya saya cuba memberikan hasil terbaik.

"Lakonan itu pula dibuat berdasarkan perbincangan bersama pengarah. Karakter saya juga tidak banyak ditampilkan dalam drama ini, hanya 74 babak. Jadi, setiap kali muncul di skrin, saya mahu memberikan impak kepada penonton.

"Selain itu, saya juga mahu berterima kasih kepada teman pelakon dan kru yang banyak membantu. Saya anggap, ia permulaan yang baik untuk 2019," ujarnya.

Selain Syazwan, drama arahan Eoon Shuhaini itu membariskan pelakon popular seperti Remy Ishak, Mira Filzah, Sarah Hildebrand dan ramai lagi. Ia bersiaran di Slot Akasia TV3, jam 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.

6721 dibaca
Berita Harian X