Jumaat, 4 Januari 2019 | 9:29am
PENYANYI, Kay Khydir, mempertaruhkan lagu ciptaan Azlan Abu Hassan berjudul Bukan Bahagiaku untuk dikenali di arena muzik. - Foto Aziah Azmee

Kay Khydir selesa bersama Shiha

KUALA LUMPUR: Bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan, Kay Khydir, memilih untuk bernaung di bawah syarikat milik teman seperjuangan, Shiha Zikir, bagi mengukuhkan kedudukan di persada hiburan.

Kembali bersama single baharu berjudul Bukan Bahagiaku sekitar November lalu, ia juga detik pengumuman dirinya kini bersama pengurusan SZ Entertainment.

"Saya sebenarnya sudah mengenali Shiha sejak sedekad lalu. Selain menjadi penyanyi di restoran, saya dan Shiha juga pernah menyertai pertandingan realiti. Dari situ, kami menjadi sahabat baik dan perhubungan itu kekal sehingga ke hari ini.

"Saya selesa berkongsi hal peribadi dan masalah dalam kerjaya dengannya. Seperti saya, Shiha sendiri berdepan laluan bukan mudah dalam dunia seni sebelum berada pada tahap sekarang. Jadi, secara tidak langsung dia tahu apa yang saya lalui," katanya.


KAY hadir ke malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 di PICC bersama Shiha Zikir, Oktober tahun lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bercerita mengenai single terbaru ciptaan komposer terkemuka, Azlan Abu Hassan dan lirik nukilan Abie Abdullah itu, Kay memberitahu, ia sebenarnya sudah agak lama diperam.

Lagu itu turut menjadi bukti, minat jejaka berusia 30 tahun ini terhadap seni suara belum pudar biarpun dirinya semakin aktif dalam lakonan. Sebelum ini, Kay pernah mempertaruhkan dua single duet, masing-masing bersama abangnya, Diddy Hirdy, dan bintang sensasi, Ayda Jebat.

"Lagu berentak balada ini sebenarnya sudah tersimpan sejak empat tahun lalu. Saya merakamkan Bukan Bahagiaku pada 2014, namun ketika itu saya berasakan belum masanya ia dipromosikan. Saya menunggu waktu yang dirasakan benar-benar tepat untuk melancarkannya.

"Lagu ini juga dikira dekat dengan saya kerana ia sebuah karya yang sangat menyentuh perasaan. Ada cerita di sebalik lagu berkenaan, terutama berkaitan kehilangan anggota keluarga dan mereka yang tercinta," kata Kay yang juga artis pertama bernaung di bawah syarikat pengurusan itu.

Sementara itu, Kay berkata, Diddy antara insan paling kuat memberikan sokongan terhadap pembabitannya dalam seni.

"Dia selalu berpesan, industri hiburan bukanlah seindah yang disangka. Kita kena bergelut kerana perjalanan yang perlu ditempuh tidak mudah.

"Kata-katanya itu memang benar kerana saya juga dikira bergelut untuk menempatkan diri dalam industri ini. Namun, Diddy sering juga menasihatkan saya supaya kuat semangat dalam mengejar impian," katanya.

1039 dibaca
Berita Harian X