Selasa, 1 Januari 2019 | 6:17pm
SHIHA bersama Rhoma Irama ketika menjayakan persembahan sempena tahun baharu di Jakarta, malam tadi. Foto IG Shiha Zikir

Shiha mahu ikut jejak Rhoma Irama

KUALA LUMPUR: Peluang berduet dengan penyanyi dangdut tersohor Indonesia, Rhoma Irama menjadi hadiah paling istimewa buat Shiha Zikir sempena tahun baharu.

Shiha berkata, sejak kecil arwah bapanya sering memutarkan lagu penyanyi itu dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini sebagai halwa telinga.

“Saya tidak menyangka, selepas bapa meninggal dunia, saya berpeluang bersama dua penyanyi legenda yang sangat dihormati itu.

“Angan-angan saya menjadi kenyataan. Mudah-mudahan saya dapat mengikut jejak Rhoma Irama yang sangat mementingkan adab dan sopan.

“Lagu nyanyiannya juga banyak membawa ke arah kebaikan, meskipun beliau adalah penyanyi dangdut,” katanya.

Shiha yang baru muncul dengan single dangdut, PipiYama (Pilih Pilih Yang Mana) berduet dengan Rhoma ketika persembahan yang berlangsung di Lapangan Monas, Jakarta, malam tadi.

“Sebelum ini saya pernah berpadu suara dengannya beberapa kali.

“Tidak sangka, peluang itu datang semula apabila kami bertemu lagi untuk persembahan, malam tadi.

“Ketika persembahan pertama dahulu, saya banyak menerima mesej dan panggilan daripada rakan artis Indonesia yang menyifatkan, saya bertuah dapat berkongsi pentas dengannya,” katanya.

Shiha yang masih dalam rangka promosi single terbaru ciptaan Atra Petrana di negara jiran itu berkata, dia terharu apabila lagu itu menerima sambutan yang begitu baik.

“Ikutkan sudah lama saya mahu merakamkan lagu dangdut. Ketika minggu akhir pertandingan, hati sudah terdetik untuk mencari lagu yang sesuai.

“Namun, hasrat itu tertunda kerana ada beberapa hal lain yang perlu diselesaikan. Alhamdulillah, lagu itu begitu dekat dengan pendengar dan diminati ramai.

“Saya berharap PipiYama akan membantu menjulang nama, tidak hanya di negara jiran, tetapi juga di tanah air sendiri,” katanya.

1409 dibaca
Berita Harian X