Selasa, 1 Januari 2019 | 3:15pm
Allahyarham Mior Ahmat Zaudi menghembuskan nafas terakhir jam 5.30 pagi tadi. Foto FB Mior Ahmat Zaudi

Pelakon drama bersiri Spektra meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon drama popular, Mior Ahmat Zaudi menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat masalah jantung dan pendarahan otak, jam 5.30 pagi tadi.

Anak perempuannya, Mimi Zuraida berkata, arwah dimasukkan ke hospital, Jumaat lalu selepas mengadu sakit dada.

“Arwah ayah memang ada sejarah sakit jantung dan selepas mengadu sakit dada, Jumaat lalu, kami membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Selepas diperiksa, doktor memaklumkan tiga saluran di jantungnya tersumbat dan masalah itu turut memberi kesan kepada tekanan darahnya.

“Kesan ubat mengakibatkan arwah mengalami masalah pendarahan dalam otak, selain buah pinggangnya juga gagal berfungsi.

“Kami reda dengan pemergiannya. Alhamdulillah, urusan pengebumiannya berjalan lancar,” katanya.

Allahyarham yang berusia 66 tahun dan popular menerusi drama bersiri Spektra serta Kota Setia terbitan HVD selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Perdana, di sini jam 11 pagi tadi.

Arwah yang berasal dari Parit, Perak dan menduda sejak dua tahun lalu meninggalkan sembilan anak hasil dua perkahwinannya.

Mula berlakon pada 1973, arwah juga pernah bertugas sebagai eksekutif bahagian operasi di Pos Malaysia sebelum pencen.

Selepas bersara, arwah menjalankan perniagaan menyediakan perkhidmatan sistem bunyi untuk majlis perkahwinan.

Allahyarham pernah membintangi filem Momok arahan M Jamil pada 2009.

2855 dibaca
Berita Harian X