Jumaat, 28 Disember 2018 | 4:31pm
PENYANYI, Tajul, merancang untuk mengeluarkan dua single sahaja pada 2019. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Tajul cuma rakam dua lagu tahun depan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tajul, yakin dia tidak perlu menekan butang panik apabila sambutan terhadap single solo keempat, Kembalilah Rindu, agak perlahan berbanding lagu nyanyiannya sebelum ini.

Katanya, menerusi single ciptaan Esfitri itu, dia cuba menampilkan kelainan apabila mengetengahkan irama rancak.

Dimuat naik ke laman YouTube pada 3 Ogos lalu, sehingga kini video muzik lagu terbabit baru mencatatkan kira-kira 683,000 tontonan.

“Mungkin sambutan terhadap lagu itu agak perlahan kerana ia berbeza daripada dendangan saya sebelum ini. Selalunya, saya tampil dengan lagu jiwang, sedangkan Kembalilah Rindu pula berirama rancak.

“Begitupun, saya tidak berasakan ia menjadi faktor utamanya. Mungkin disebabkan dalam masa setahun ini saya mengeluarkan enam single, termasuk duet, jadi agak susah untuk meraih tontonan berjuta-juta bagi kesemua lagu terbabit. Apapun, lima lagu lain sudah pun meraih lebih sejuta tontonan, cuma Kembalilah Rindu yang agak perlahan,” katanya.

Tajul mula mencuri perhatian peminat dengan lagu Sedalam-Dalam Rindu yang ditonton lebih 28 juta kali di laman video berkenaan, sejak dikongsi pada Disember 2016. Kemudian, dia muncul dengan Di Sana Cinta Di Sini Rindu, Melamar Rindu, Rindu Dalam Benci, Hasrita dan terbaru, Aku Serius.


TAJUL dan Wany Hasrita kini muncul dengan single duet terbaru, Aku Serius. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Belajar daripada pengalaman itu, Tajul atau nama penuhnya Tajul Ariff Noor Md Shari merancang untuk mengeluarkan hanya dua lagu baharu pada tahun depan.

Sementara itu, remaja berusia 20 tahun ini turut mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan apabila membintangi filem, Enjin No 9, arahan Raja Azmi dan telefilem, Tergantung Rindu, yang ditayangkan pada Aidilfitri lalu.

Tidak lama lagi, dia akan membintangi sebuah drama untuk siaran TV3 pula, yang belum dapat didedahkan butirannya.

“Apabila ada rezeki dalam dunia lakonan, saya tidak menolak untuk mencuba. Namun, bidang seni suara masih menjadi keutamaan saya,” kata adik kepada Achik Spin ini.

626 dibaca
Berita Harian X