Ahad, 23 Disember 2018 | 9:35am
PELAKON, Nad Zainal, ketika beraksi dalam telefilem Wali Jantan Semantan. Foto ihsan Nad Zainal

'Anugerah bukan tiket letak harga tinggi'

KUALA LUMPUR: “Selepas menang pada Anugerah Skrin (ASK) 2018 tempoh hari, saya bersyukur apabila rezeki masih lagi menyebelahi diri, alhamdulillah.”

Begitu kata pelakon, Nad Zainal, saat ditanya mengenai kemungkinan ada produksi yang mula bimbang untuk menawarkannya peluang lakonan selepas menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada anugerah terbabit, awal bulan lalu.

Kata aktres berbakat itu, dia bernasib baik apabila tiada pihak yang cepat melabelkannya sebagai artis bersikap ‘demanding’ ataupun mula meletakkan harga tinggi selepas kejayaan terbabit.

Nad, 28, memenangi anugerah berkenaan hasil lakonan hebatnya sebagai gadis penghidap austisme dalam telefilem, Fatonah Azali.

“Perjalanan kerjaya seni saya masih seperti biasa. Rezeki yang datang juga mencurah-curah. Saya amat bersyukur dengan segala nikmat indah yang dikecapi saat ini.

“Saya sendiri berasakan, pihak produksi amat maklum diri ini bukan jenis yang ‘demand’. Mereka juga tahu, saya sudah pun menang anugerah, justeru bayaran yang diberi adalah setimpal dengan apa yang dipersembahkan. Mereka memang tahu kadar bayaran sepatutnya dihulurkan kepada saya,” katanya kepada BH Online.


NAD melakonkan watak utama dalam telefilem arahan Sabri Yunus. Foto ihsan Nad Zainal

Menurut Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 itu, kemenangan yang diraih bukannya tiket untuk dia meminta bayaran tidak masuk akal.

“Saya masih berlakon pada kadar bayaran yang sama. Pihak produksi juga cukup memahami keadaan ini. Jadi, tiada apa yang perlu saya jelaskan lebih-lebih,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran telefilem berjudul Wali Jantan Semantan.

Selain dirinya, karya arahan Sabri Yunus itu turut dilakonkan oleh Ika Nabella, Fezrul Khan, Sharifah Shahora, Anne Abdullah, Aedy Ashraf dan ramai lagi.

“Telefilem yang ditulis sendiri oleh pengarahnya itu mengisahkan perjuangan rakyat Pahang ketika menentang pihak komunis dan usaha mereka dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.


BERSAMA barisan pelakon yang menjayakan telefilem Wali Jantan Semantan. Foto ihsan Nad Zainal

“Memakan masa 12 hari penggambaran, ia dijadualkan berakhir pada 26 Disember ini. Mulai hari ini, saya akan terbabit pula dengan projek telefilem terbitan Zeel Production,” kata ibu kepada seorang anak berusia dua tahun itu.

Nad mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin, 29, pada 2015. Mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Fahad Ibrahim, yang dilahirkan pada Oktober 2016.

729 dibaca
Berita Harian X