Jumaat, 21 Disember 2018 | 11:57am
PENYANYI, Shiha Zikir, bakal tampil dengan lagu berentak dangdut hujung bulan ini. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Kekasih saya bukan lelaki cemburu buta - Shiha

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir menepis secara baik pelawaan jejaka yang ingin mendekatinya bagi menjaga hubungan cinta selama 10 tahun bersama kekasih, Kamarul.

Shiha atau nama penuhnya Nurshiha Muhd Zikir, 31, menjelaskan biarpun ramai lelaki yang ingin berkenalan dengannya, namun ia tidak pernah menggoyahkan hubungan yang dibina selama sedekad bersama buah hatinya itu.

“Alhamdulillah, saya selesa dengan adanya Arul di sisi. Dia bukan sekadar menguruskan kerjaya seni, malah memberi sokongan dalam apa juga bidang diceburi. Setakat ini, kami tidak pernah bergaduh akibat cemburu kerana saya dan dirinya saling mempercayai. Dia juga seorang yang penyabar dan amat memahami kerjaya saya.

“Tipu jika saya katakan tiada jejaka di luar sana yang ingin mendekati. Namun, Arul bukan jenis lelaki yang cemburu buta. Malah, kadangkala dialah yang tolong ambilkan gambar dan sebagainya.

“Bagi saya, sikap saling mempercayai menjadi teras utama dalam perhubungan. Begitupun, kepercayaan yang diberikan itu tidak seharusnya dipersiakan,” katanya kepada BH Online.

Shiha berkongsi kisah peribadinya ketika ditemui pada sidang media Todak Fest 2019, iaitu karnival sukan digital tempatan terbesar yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Januari depan.

Sementara itu, pemenang tempat ketiga program realiti popular Indonesia, D’Academy Asia, itu bakal tampil dengan single berentak dangdut sebagai penghargaan kepada peminatnya.

“Dangdut bukanlah genre saya, namun ia dihasilkan sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang kerjaya seni saya, terutama mereka yang menyokong ketika saya berada dalam pertandingan terbabit. Jika mengikut perancangan, single itu bakal dilancarkan pada hujung bulan ini.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menyanyikan lagu dangdut kerana ia mempunyai lenggok tersendiri. Cabarannya sama seperti membawakan lagu tradisional,” kata Shiha.

Berita Harian X