Rabu, 19 Disember 2018 | 2:28pm
LAN Solo mengumumkan bakal beraksi dengan bekas anggota Kristal pada showcase istimewa, Mac depan. - Foto IG Lan Solo

Lan Solo 'rujuk' dengan bekas anggota Kristal

SUBANG JAYA: Atas permintaan peminat, bekas vokalis kumpulan Kristal, Lan Solo bergabung semula dengan anggota lama kumpulan itu pada Lan Solo Next Level Showcase, Mac depan.

Lan memberitahu, dia dan teman-teman bekas anggota Kristal iaitu Ainol, Ezal, Joe, Ejan dan Amai sepakat membuat persembahan istimewa pada showcase yang akan diadakan di Malaysia Tourism Centre (MaTiC) Kuala Lumpur di sini, pada 2 Mac.

“Mereka adalah bekas anggota yang turut menimpa nasib sama seperti saya. Penyertaan mereka dalam showcase itu sangat menggembirakan saya selepas setahun bergerak solo.

“Saya gembira mereka mengambil langkah menghubungi saya untuk menyertai showcase ini.

“Kembalinya kami bersama diilhamkan daripada permintaan peminat... Syukur kami dapat merealisasikan hasrat mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Lan dan bekas anggota Kristal ditemui pada sidang media mengumumkan Lan Solo Next Level Showcase, di sini.

Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berharap showcase dirancang akan menjadi penanda aras dalam mengendalikan konsert berskala besar pada masa hadapan.

“Profil seni seorang penyanyi takkan lengkap jika tiada konsert berskala besar. Saya harap showcase ini menjadi jambatan untuk saya mengadakan konsert selepas ini,” katanya.

Tambah Lan, sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Persatuan Klef, Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).

“Seperti yang kita sedia maklum, anak keempat saya mempunyai masalah sumbing.

“CLAPAM menjadi antara persatuan yang banyak membantu ketika saya dan isteri menghadapi kesukaran, jadi, ini usaha saya untuk membalasnya,” katanya.

Tiket menyaksikan Lan Solo Next Level Showcase sudah mula dijual pada harga RM88 hingga RM149. Hubungi talian 011-169866110 untuk maklumat lanjut.

2972 dibaca
Berita Harian X