Isnin, 17 Disember 2018 | 4:14pm
Adira berkongsi momen indah bersama dua anak tersayang iaitu Anggrek dan Asan di Instagram. - Ihsan IG Adira

Belum mahu berhenti menyanyi

KUALA LUMPUR: Opsyen meninggalkan dunia seni tidak pernah terlintas dalam fikiran penyanyi Adira Suhaimi biarpun mengaku rutin hariannya padat sebagai ibu beranak dua.

Sebaliknya, Adira berkata, dia perlu bijak mengatur masa dan merebut semua peluang asalkan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri tidak terjejas.

“Saya belum bersedia untuk bersara... Tak pernah terlintas dalam fikiran untuk meninggalkan bidang seni.

“Cuma saya perlu sedikit ruang untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan penyanyi selepas selesai berpantang,” katanya kepada BH Online.

September lalu, Adira melahirkan anak kedua yang diberi nama Asan. Kehadiran bayi itu melengkapi rumah tangga yang dibina bersama usahawan, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red, sejak tiga tahun lalu.

Anak sulung Adira atau nama penuhnya, Siti Adira Suhaimi, 27, adalah Anggrek yang berusia setahun.

Dianggap wanita berdikari, Adira memberitahu, dia berpegang kepada konsep tidak menolak rezeki biarpun ketika dirinya sarat mengandung.

“Saya aktif membuat ulasan produk melalui Instagram ketika sarat mengandung.

“Sebagai wanita, kita harus mencari pelbagai inisiatif untuk menjana pendapatan dan tidak bergantung kepada suami semata-mata.

“Ini lebih memudahkan kerana saya tidak mendapat halangan daripada pihak pengurusan malah turut dibenarkan suami,” katanya.

Terbaru, wanita berdarah Kadazan-Dusun ini tampil dengan single garapan Ikhwan Fatanna dan Omar K. Lagu ini bakal menjadi runut bunyi drama bersiri, Pujaan Hati Kanda.

“Insya-Allah, jika mengikut perancangan, single Pujaan Hati bakal dilancarkan di semua platform digital, Jumaat ini.

“Sudah lama berehat, saya harap lagu ini dapat diterima peminat dan penggemar muzik tempatan,” katanya.

Mengenai nasib buah tangan terbarunya itu, Adira menyerahkan kepada rezeki kerana kurang pasti dengan kehendak pendengar sekarang.

“Inilah kali pertama saya menggunakan karya kombinasi dua komposer muda. Saya ingin mencuba sesuatu yang segar dan memberi sedikit kelainan.

“Jujur, saya mengaku bukan mudah bersaing dengan penyanyi baharu yang mendominasi pasaran hari ini.

“Saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk merencanakan kejayaan single ini. Saya amat mengharapkan sokongan peminat yang tidak henti menjadi tulang belakang kerjaya seni saya selama ini,” katanya.

Drama Pujaan Hati yang diadaptasi daripada novel karya Aulia Iman akan menemui penonton melalui slot Akasia TV3, Khamis ini.

Drama itu menampilkan lakonan Remy Ishak, Mira Filzah, Syazwan Zulkifly, Sarah Hildebrand dan ramai lagi.

2639 dibaca
Berita Harian X