Isnin, 17 Disember 2018 | 9:51am
WANY Hasrita bersyukur perselisihan faham dengan Tajul sudah kembali jernih. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Memang Tajul terasa, tapi kena profesional - Wany Hasrita

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Wany Hasrita mengakui, pernah berselisih faham dengan teman duetnya, Tajul.

Tidak menafikan, Tajul pernah terasa hati dengan kenyataannya, namun, kata Wany, perkara itu sudah diselesaikan dengan baik menerusi perbincangan.

“Tajul ada memaklumkan dia terasa hati, tetapi saya sudah jelaskan maksud sebenar mengenai kenyataan duet antara kami tidak lagi relevan.

“Saya faham perasaannya, apatah lagi Tajul agak sensitif. Tetapi, jika itu pandangan orang luar, kami harus menerimanya secara profesional.

“Apabila orang bercakap begitu, itu bermakna mereka memberikan kami ruang untuk merangka perancangan lain.

“Mungkin juga mereka bermaksud kami perlu berani keluar dari ruang selesa atau mencuba formula lagu duet lain selepas tampil dengan tiga lagu bersama,” kata Wany.

Mereka sebelum ini, pernah tampil dengan tuga lagu duet iaitu Di Sana Cinta Di Sini Rindu, Rindu Dalam Benci dan terbaru, Aku Serius.

Wany berkata, dia tidak pernah menganggap kerjasama antara mereka selama ini sebagai kesilapan, sebaliknya berterima kasih kepada Tajul kerana turut membantu menaikkan popularitinya.

“Kami membina nama bersama-sama, malah memahami susah dan senang berjuang mencari tempat dalam industri seni.

“Takkan saya mahu melupakan jasa dan sumbangan Tajul begitu saja apabila saya sudah mula meniti sedikit keselesaan,” katanya.

Tajul sebelum itu mengakui, terkilan dengan kenyataan Wany, malah menyangka pernah menyangka ia gimik syarikat pengurusan untuk memperkenalkan lagu terbaru mereka.

“Kenapa dia sanggup cakap begitu, sedangkan kak Nana (Siti Nordiana) tidak pernah memperkecilkan kerjasamanya dengan arwah abang Achik.

“Disebabkan itu, apabila ditanya media, saya agak marah kerana saya tidak tahu cerita sebenar. Apabila berjumpa dan berbincang, baru Wany menceritakan hal sebenar,” katanya.

Menganggap isu itu sudah berlalu, Tajul berkata, dia tidak kisah untuk berduet lagi dengan Wany jika diminta syarikat pengurusan mereka.

“Memang ada yang tidak senang dengan usaha kami, namun saya bersyukur kerana lagu kami masih mendapat tempat di YouTube.

“Biarlah apa orang nak cakap kerana saya hanya mencari rezeki. Mungkin yang tidak suka itu hanya segelintir, jadi saya tidak perlu ambil hati,” katanya.

5374 dibaca
Berita Harian X