Khamis, 13 Disember 2018 | 11:52am
SELEPAS kejadian foto dirakam menampakkan beberapa kelibat, Ezzaty takut duduk di rumah sendirian. Pelakon itu dan suami meraikan hari jadi puteri sulung, Harum Dahlia yang genap setahun, malam tadi. - Foto Instagram Ezzaty Abdullah

Ezzaty trauma nampak 'kelibat' dalam foto

SHAH ALAM: Ingatkan bergambar berdua, rupa-rupanya ada kelibat ‘menumpang’ sama.

Pelakon Ezzaty Abdullah berkongsi pengalaman mistik apabila foto bersama anak yang dikongsi di Insta Story, baru-baru ini, turut ‘merakamkan’ beberapa kelibat di belakang mereka.

Ezzaty memberitahu, dalam kejadian itu, dia dan puteri kesayangan, Harum Dahlia bergambar sementara menunggu suami, Azwan Kombos bersiap di rumah mereka, Khamis lalu.

“Semasa menunggu suami untuk keluar, saya merakamkan foto bersama Harum untuk dimuat naik di Insta Story. Ketika itu, sudah senja.

“Ketika foto dimuat naik, saya tidak sedar apa-apa yang pelik daripada rakaman gambar itu.

“Namun, tidak lama kemudian, saya terima mesej daripada pengikut memberitahu mereka terlihat beberapa kelibat dalam foto yang dimuat naik.

“Saya terus melihat perkongsian itu dan jadi takut melihatnya,” katanya.

Ezzaty berkata, berikutan insiden itu, dia takut berada di rumah terutama apabila suami tiada.

“Saya mengaku silap apabila merakamkan foto pada waktu maghrib. Ini kerana orang tua-tua banyak berpesan mengenai pantang melakukan perkara-perkara tertentu ketika senja.

“Selepas kejadian itu, saya takut untuk duduk dalam rumah sendiri hingga rutin terjejas dibuatnya dek risau,” katanya.

Sementara itu, Azwan berkata, berikutan kejadian pelik itu, dia menjemput beberapa ustaz datang ke rumah untuk memeriksa persekitaran.

“Ustaz beritahu kelibat itu sekadar ‘singgah’ dan tidak mengacau kami sekeluarga. Namun, seorang lagi ustaz berpendapat lembaga itu tinggal di rumah yang kami diami.

“Kami berharap kelibat itu tidak mengganggu kami sekeluarga dan kebetulan sengaja ‘singgah’ ketika Ezzaty bergambar.

“Bukan apa, kami tidak mahu kehadiran kelibat itu memberi kesan buruk kerana Harum masih kecil,” katanya.

Malam tadi, Azwan dan Ezzaty meraikan hari jadi Harum yang genap setahun, di sini.

9373 dibaca
Berita Harian X