Khamis, 13 Disember 2018 | 10:51am
KEJAYAAN pada AJL 32 membuka mata Ernie Zakri terhadap hala tujunya dalam industri muzik. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Jangan takut untuk berkata tidak - Ernie Zakri

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri mengakui, dia kini semakin yakin menyatakan pendiriannya sebagai anak seni dan tidak mahu lagi diri terus diperkotak-katik.

Ernie, 26, berkata dia pernah melakukan kesilapan apabila terlalu menjaga perasaan orang lain menyebabkan namanya lambat dikenali, meskipun sudah lama bertapak dalam industri hiburan.

Katanya, keberanian itu bukan bermakna dia besar kepala atau berlagak diva, terutama selepas menjulang trofi Vokal Terbaik bersama Syamel pada Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32).

“Setiap penyanyi perlu berani berkata tidak dan menolak jika lagu yang diberikan tidak menepati kehendak serta jiwa mereka.

"Dulu, saya anggap bakat seperti dipinggirkan kerana sudah lama bertapak, tetapi nama masih belum dikenali.

"Mungkin ia berpunca daripada silap sendiri kerana saya hanya mengikut cakap orang dan langsung tidak berani mengatakan 'tidak'.

“Apa yang diberikan ketika itu, saya anggap ia terbaik untuk diri, sedangkan

hati saya tidak ikhlas melakukannya,” katanya.

Ernie berkata, kemenangan pada AJL 32 membuka matanya terhadap hala tuju yang ingin dicapainya dalam industri muzik.

Malah, dia juga semakin berani merencana perjalanan kerjaya seninya sendiri

untuk memastikan impiannya menjadi kenyataan.

“Setiap penyanyi perlu tahu arah kerjaya seni mereka, bukan membuta-tuli mengikut kehendak orang lain.

"Dulu, saya hanya mampu menangis dan berkurung dalam bilik meratapi nasib yang saya lalui. Saya ambil masa agak lama untuk berdepan dengan cabaran industri muzik.

"Alhamdulillah, sekarang saya sudah matang, selain sudah mula yakin menyusun strategi demi masa depan kerjaya nyanyian.

“Saya bukan diva, tetapi lebih baik jika kita menolak sesuatu yang kita tidak yakin mampu memberikan kepuasan. Saya hanya mempertahankan hak sebagai penyanyi," katanya.

Ernie ditemui pada pelancaran single terbarunya, Ku Bersuara, ciptaan bersama Syamel, Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham.

Lagu itu menceritakan luahan dan isi hatinya berdepan pengalaman didiskriminasi ketika masih tercari-cari tapak kukuh dalam industri muzik.

"Selagi ada permintaan, saya dan Syamel akan terus bekerjasama. Insya-Allah, selepas single ini, kami akan tampil dengan lagu duet balada terbaru, tahun depan.

“Lagu itu masih dalam proses pembikinan dan ketika ini, sudah hampir 50 peratus siap," katanya.

Berita Harian X