Selasa, 11 Disember 2018 | 5:47pm

Black sanggup berjaga malam uruskan anak

KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa mengorbankan waktu rehatnya, penyanyi, Black Hanifah puas apabila berpeluang menguruskan sendiri anak keduanya, Rindu Dayyana.

Black, 32, juga sanggup menyusun semula jadual hariannya apabila Rindu yang kini berusia sebulan kerap bangun malam untuk menyusu.


WAJAH anak kedua Black, Rindu Dayyana. - Ihsan IG Black

“Ketika awal kelahiran Rindu, saya dan isteri, Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira, 33, mendapatkan khidmat pakej penjagaan bayi ketika berpantang.

“Namun, sekarang kami menguruskan sendiri anak, malah saya sanggup bangun malam setiap dua jam membantu isteri menyediakan susu.

“Biarpun berpengalaman membesarkan anak sulung, Khaleef Dayyan, ia tidak sama kerana Rindu lebih manja dan kerap menangis,” katanya.

Black berkata, disebabkan kuat menyusu, berat Rindu kini mencecah berat 4.27 kilogram. Anak keduanya itu juga agak sensitif apabila wajahnya mudah naik ruam jika panas.

“Dia tidak banyak kerenah, cuma sentiasa mahu ibunya ada di sisi. Cira juga sudah berani memandikan Rindu, sedangkan dahulu, dia takut memegang bayi,” katanya.


KELUARGA Black semakin berseri dengan kelahiran Rindu Dayyana sebulan lalu. - Ihsan IG Black

Black berkata, meskipun isterinya mampu menguruskan dua zuriat mereka, hatinya tetap risau setiap kali berjauhan, terutama apabila anaknya jatuh sakit.

“Sesekali saya akan meminta bantuan pembantu untuk memantau mereka, terutama Dayyan yang sudah mula lasak.

“Alhamdulillah, setakat ini, semuanya berjalan lancar dan kerjaya juga dapat diuruskan dengan baik. Cuma, saya paling risau jika anak tidak sihat.

“Fokus kerja saya akan terganggu jika mereka sakit. Biarpun jauh, saya sanggup bergegas pulang ke ibu kota selepas selesai persembahan untuk bersama anak,” katanya.

Black berkata, dia juga sudah membuat pelbagai perancangan untuk kedua-dua anaknya, termasuk simpanan demi masa depan mereka.

Berita Harian X