Selasa, 11 Disember 2018 | 9:22am
ALIF yang meraih trofi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, mahu memberi lebih tumpuan kepada karier lakonan sepanjang 2019. Foto NSTP

Alif Satar mahu lebih banyak berlakon tahun depan

KUALA LUMPUR: Drama Pia yang memaparkan watak Orang Kurang Upaya (OKU) menjadi antara produk baharu yang bakal disajikan artis serba boleh, Alif Satar sempena 2019.

Bertekad memberi lebih tumpuan kepada bidang lakonan pada tahun baharu, Alif yang digandingkan bersama artis senior, Sheila Rusly dalam drama terbitan JS Pictures itu, mencabar diri menghayati karakter jejaka yang perlu berinteraksi dengan insan OKU.

Alif mengaku sengaja keluar dari zon selesa dan ‘lari’ daripada watak romantik yang sudah dianggap sinonim dengan dirinya.

“Jika dilihat, sepanjang 2018, saya kurang terima tawaran berlakon kerana terikat dengan komitmen lain. Selama ini juga, saya terikat dengan watak adaptasi novel bercorak romantis.

“Namun, sebaik tawaran JS Pictures diterima, saya lihat plot dramanya cukup menyentuh hati.

“Malah, saya perlu buat kajian mengenai bahasa isyarat. Namun, saya beruntung kerana ibu bapa pernah mengajar cara berkomunikasi dengan golongan OKU,” katanya kepada BH Online.

Alif mengaku berdepan kesukaran menghidupkan watak dalam Pia apatah lagi dia perlu menghafal dialog Sheila bagi memudahkan komunikasi.

“Saya perlu tahu dialog yang dilontarkan Sheila melalui bahasa isyarat dan beri jawapan dalam bentuk dialog lisan,” katanya.

Selain Alif, drama yang bakal disiarkan TV3, Ramadan depan turut menampilkan Naim Daniel, Zara Zya dan ramai lagi.

Alif memuji Zara yang disifatkan pelakon yang cukup komited di set drama.

“Sebelum ini, saya hanya berkenalan dengan Zara di majlis-majlis dan tidak tahu sifat sebenar dirinya di set penggambaran.

“Biarpun sering berjenaka, namun Zara komited dan menghayati watak dengan baik. Saya banyak belajar dengan Zara, Naim, Sheila dan seluruh kru produksi.

“Kami memulakan penggambaran sejak November lalu dan dijangka selesai, bulan depan,” katanya.

Berita Harian X