Jumaat, 7 Disember 2018 | 9:17am
DAIYAN serik dikritik gara-gara gimik memakai busana pengantin untuk memperkenalkan single Langit. - Foto Salhani Ibrahim

Cukup sekali, saya dah serik - Daiyan Trisha

PETALING JAYA: “Cukuplah sekali itu, saya sudah serik melakukan gimik, meskipun ia banyak membantu apabila nama saya mula dikenali,” kata Daiyan Trisha.

Mengakui masih terkesan dengan kritikan netizen, Daiyan yang membuat gimik menyarung busana perkahwinan untuk sampul single terbarunya, Langit pada Ogos lalu nekad enggan mengulanginya lagi.

Walaupun dilihat berjaya membuka mata ramai terhadap kemunculannya, komen negatif netizen membuatkan dia terkilan apabila dianggap cuba mencipta gimik murahan.

"Membaca pelbagai komen netizen begitu memberi kesan hingga saya serik untuk membuat gimik lagi.

“Ramai yang melontarkan komen negatif, tetapi di sebaliknya saya bersyukur apabila peminat mula menyedari kehadiran,” katanya.

Pelakon berusia 25 tahun yang bakal muncul dengan album Inggeris tahun depan itu berkata, dia tidak menyangka teruk dihentam di laman sosial gara-gara gimik itu.

"Sebenarnya, saya tidak sengaja memuat naik gambar itu hingga ramai yang mempersoalkan tindakan saya.

“Bagi saya, ada baiknya juga sebab orang mula kenal, tetapi cukuplah sekali melakukan gimik kerana saya sudah serik dikritik netizen," katanya.

Daiyan ditemui pada majlis pelancaran video muzik, Ini Ekspresiku duet bersama Nik Qistina untuk kempen tablet HP Pavilion, di sini.

Menyentuh mengenai album Inggeris yang memuatkan lapan lagu baharu, penyanyi yang sudah lima tahun bertapak dalam industri itu turut mendapatkan khidmat beberapa komposer, selain mengetengahkan sentuhannya sendiri.

"Sebelum muncul dengan single Melayu, saya pernah menghasilkan beberapa lagu Inggeris.

“Dengan penghasilan album penuh Inggeris ini, saya berharap ia akan membantu saya bertapak lebih kukuh.

"Sudah lama saya mengimpikan untuk mempunyai album sendiri kerana ia memberikan lebih kepuasan, berbanding menghasilkan single,” katanya.

Mengakui agak risau terhadap permintaan album penuh, Daiyan tetap memberanikan diri mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk pembikinan produksi itu.

Berita Harian X