Rabu, 5 Disember 2018 | 4:06pm
RITA mahu terus mengingatkan anak-anak mengenai ayah kandung mereka biarpun mendakwa ada pihak menyindir. - Foto IG Rita Rudaini

'Cubalah bersihkan hati tu...'

KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Rita Rudaini enggan berhenti mengingatkan anak-anak mengenai bapa mereka biarpun ada pihak didakwa tidak ‘senang duduk’ hingga sanggup membuat sindiran memalukan diri.

Rita, 42, menyifatkan perilaku individu terbabit membuktikan mereka masih dibayangi dosa silam.

Enggan melatah, Rita mengambil pendirian perkara itu tidak sesekali mengubah niat mendekatkan silaturahim antara ayah iaitu Aidil Zafuan dan anak-anak mereka.

“Entah kenapa ada yang ‘panas’ apabila saya kongsi pasal ayah kepada anak-anak. Itu darah daging dan mereka patut kenal serta tahu siapa ayah mereka.

“Dari dulu saya tak pernah memburuk-burukkan Aidil depan anak-anak. Saya cuma tak kongsi sebab waktu itu, anak-anak terlalu kecil selain menyangka Aidil akan mencari anaknya.

“Apabila mereka pandai bertanya dan sukakan bola sampaikan tidur bola, makan bola, lantas saya buka mulut dan dedahkan.


ENTRI dimuat naik Rita di Instagram mengenai kecenderungan anak-anak dalam sukan bola sepak, sama seperti ayah kandung iaitu bekas suami, Aidil Zafuan. - Foto IG Rita Rudaini

“Jersi milik bapa mereka juga menjadi satu-satunya harta yang saya simpan sebagai bukti ayah mereka pemain bola sepak yang bagus,” katanya kepada BH Online.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaha Arjuna, 7, sebelum ini mendedahkan ada pihak kurang senang melihat dirinya berbaik dengan bekas suami demi anak-anak mereka.

Rita turut berkongsi foto pemain bola sepak kebangsaan itu bersama anak-anaknya ketika mereka masih terlalu kecil melalui Instagram yang diikuti 1.3 juta pengikut.

Rata-rata pengikut mendoakan Rayyan dan Arjuna mengikut kecenderungan bapa mereka dalam sukan bola sepak selain merasai belaian dan tunjuk ajar ayah kandung.

Rita berkata, biarpun dia dan Aidil sudah tiada ikatan, hubungan bapa dengan anak-anak tidak akan putus.

“Cubalah bersihkan hati dan jangan melaga-lagakan kami,” katanya.

Sementara itu, Rita meminta peminat usah risaukan dirinya yang masih hidup sendiri sejak enam tahun lalu.

“Saya memang masih solo tapi sudah teruskan hidup. Cuma lucunya, apabila cakap soal anak dan ayah, ada pula mengata saya tak ‘move on’. Hubungan ayah-anak tiada kaitan dengan soal ini.

“Bagi saya mudah saja, ramai lagi pasangan yang ditakdirkan berpisah. Namun masih rapat, jenguk dan ambil tahu pasal darah daging mereka.

“Buat apa nak menidakkan ikatan itu? Pasal saya minta tiket bola di laman sosial, itu pun ada berbunyi kenapa tak berhubung saja. Bukan apa, selain nombornya kerap bertukar, saya takut orang salah faham, ingat saya mahu kejar suami orang,” katanya.

Sebelum ini, banyak entri Rita berkisar aktiviti bola sepak anak-anak selain doa mengharapkan dua permata hatinya itu berlatih bersungguh-sungguh dan membanggakan ibu bapa.

7836 dibaca
Berita Harian X