Rabu, 5 Disember 2018 | 12:09pm
BERAT Zul naik mendadak selepas setahun tidak mengamalkan gaya hidup sihat. - Foto Saifullizan Tamadi

Berat cecah 102 kilogram, Zul Ariffin kembali bersenam

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu sibuk bekerja dan tidak mengamalkan gaya pemakanan sihat, berat badan pelakon, Zul Ariffin meningkat mencecah 102 kilogram.

Zul menerusi perkongsiannya di Instagram berkata, dia kini berusaha mendapatkan semula berat badan ideal dengan menjalani rutin senaman.

Pelakon J Revolusi itu mengakui, rutin yang dilakukan bukan semata-mata kerana mahu beraksi di layar perak, tetapi juga demi menjaga kesihatan diri.

"Setahun lalu, saya hanya menumpukan fokus kepada kerjaya dan tidak menghiraukan soal pemakanan. Tidur juga tidak betul dan saya tidak lagi ke gimnasium.

“Tiada siapa yang perlu disalahkan, kecuali diri sendiri. Semua tabiat negatif itu sudah dihentikan dan saya kini kembali menjalani rutin senaman setiap hari,” katanya.

Zul mengakui, ada beberapa projek yang sedang menanti untuk dilunaskan, tetapi kesedaran itu berputik bukan semata-mata kerana kerja.

"Ia lebih kepada membuat persediaan untuk segala perkara yang akan datang. Saya mahu menjadi lebih sihat dengan melakukan perkara yang disukai," katanya.

Baru-baru ini, Zul mendapat perhatian netizen apabila memuat naik foto yang memperlihatkan perubahan susuk tubuhnya yang jauh lebih berisi.

Malah, pelakon yang dikenali dengan badan sasa itu mengakui, berat badannya sudah mencecah 102 kilogram membuatkan peminat terkejut.

Sementara itu, Zul turut menasihatkan pengikutnya supaya mengamalkan aktiviti sihat.

"Buat anda yang sedang berusaha mencapai impian untuk lebih sihat, lakukan sekarang. Tubuh kita dicipta bukan untuk bermalas-malasan.

"Bergeraklah dan paksa diri anda bersenam," katanya.

6449 dibaca
Berita Harian X