Selasa, 4 Disember 2018 | 4:19pm
SHAHIRAH diuji apabila dua anaknya menghidap Influenza B. Foto: Instagram Sharifah Shahirah

Shahirah bawa kawan pujuk anak makan ubat

KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah buntu apabila anaknya, Audrra enggan menjamah makanan atau minuman sejak dimasukkan ke hospital, Jumaat lalu.

Shahirah yang mesra disapa Shiera berkata, dia terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan bagi memastikan Audrra, 9, yang menghidap Influenza B pulih secepat mungkin.

“Berbanding adik-beradiknya yang lain, Audrra yang saya panggil Oddah agak susah makan ubat.

“Ia lebih sukar apabila mulutnya kering dan diserang ulser hingga membuatkan dia enggan menjamah makanan atau minuman.

“Saya terpaksa meminta kawan-kawannya datang melawat dan membawa aiskrim bagi menaikkan seleranya. Bagaimana mahu makan ubat jika dia langsung tidak menjamah apa-apa?,” katanya.


ANAK keempat Shahirah, Audrra menerima rawatan di hospital kerana Influenza B sejak Jumaat lalu. Foto: Instagram Sharifah Shahirah

Shahirah berkata, dia terpaksa bertegas memandangkan dua anaknya terpaksa menerima rawatan di hospital kerana penyakit yang sama.

“Saya bersyukur mempunyai pembantu yang dapat menjaga kebajikan mereka ketika saya terikat dengan komitmen kerjaya.

“Ibu mana yang tidak risau melihat keadaan kesihatan anaknya dan saya berharap dia akan segera pulih,” katanya.

Perkongsian yang dibuat Shiera di media sosial mengenai anaknya yang sukar makan ubat menerima pelbagai reaksi netizen.

Selain menurunkan petua, ada juga yang berkongsi pengalaman berhadapan dengan situasi yang sama.

Shahirah yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Zulkifli Azahari atau Ijoy, 44, turut dikurniakan tiga cahaya mata lain iaitu Airell, 14, Airra, 11 dan Adeena, 2.

Menerusi perkahwinan pertamanya dengan vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt, pelakon drama Mat Despatch itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Allisya, 20.

Berita Harian X