Ahad, 2 Disember 2018 | 9:43am
Fara Hezel dan Zamani. - Foto NSTP

Fara tak layak berduet dengan Zamani?

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Fara Hezel, tidak menyangka luahan untuk berduet dengan Zamani membangkitkan kemarahan peminat bintang berpengalaman berkenaan.

Kata Fara, rata-rata netizen memberi komen tidak berpuas hati dengannya, malah ada yang mempertikaikan kebolehan dirinya sambil menganggap bakat baharu terbabit tidak layak berduet dengan bekas vokalis kumpulan Slam itu.

"Ada segelintir peminat Zamani yang begitu ekstrem dengan memarahi saya gara-gara meluahkan hasrat berkenaan. Mereka pertikaikan kemampuan saya sambil menyatakan Zamani layak berduet dengan penyanyi lebih bagus.

"Belum pun tahu bagaimana lagu terbabit dipersembahkan, masing-masing sudah membuat spekulasi,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, kakak kepada bintang remaja, Aiman Tino, itu mencuri perhatian ramai apabila menyuarakan hasrat mahu menghasilkan single duet bersama penyanyi Gerimis Mengundang berkenaan.

Perkongsian menerusi lnsta Story terbabit bagaimanapun mengundang kemarahan segelintir peminat penyanyi lelaki itu.

Fara yang popular dengan lagu Ku Pasrah berkata, setakat ini belum ada keputusan muktamad berhubung perkara itu kerana perancangan berkenaan hanya disuarakan secara lisan.

Ditanya adakah dia sedia berdepan peminat Zamani jika impiannya itu menjadi kenyataan, Fara, 22, menegaskan dia tidak bimbang dengan perkara berkenaan.

"Saya tidak takut jika diberi peluang terbabit. Saya lebih suka jika orang mempersoalkannya kerana ia memberi cabaran buat saya untuk berusaha keras dan membuktikan saya mampu menyanyi dengan baik.

"Secara tidak langsung, saya mahu menunjukkan kepada mereka vokal saya serasi dengan Zamani. Itupun jika pihak Zamani memberi peluang berkenaan kepada saya," tuturnya.

Berita Harian X