Rabu, 28 November 2018 | 11:56am
Selepas tiga dekad berjuang dalam arena seni, Anuar terharu menerima anugerah The Brandlaureate Grand Master Brand Icon Leadership di ibu negara, kelmarin. - Foto Ihsan Anuar Zain

Anuar hadiah video muzik pelengkap

KUALA LUMPUR: Sudah menjadi aliran baharu dalam industri muzik tempatan apabila syarikat rakaman yang mempertaruhkan album hebat merangka promosi berperingkat malah mengambil tempoh lebih dua tahun.

Lihat sahaja album terbaru Dayang Nurfaizah yang memiliki beberapa lagu popular seperti Dia dan Layarlah Kembali yang dipromosikan dalam tempoh panjang selepas dilancarkan April, tahun lalu.

Namun, mencipta kelainan, buah tangan terbaru Anuar Zain yang dipasarkan pada September 2016, ‘menghadiahkan’ tiga lagu serangkai dengan video muzik dendangan terakhir akan dilancarkan di YouTube, Sabtu ini.

Berkongsi perkhabaran itu, Anuar berkata, video muzik pelengkap bagi lagu Belahan Hati adalah kesinambungan bagi jalan cerita dua dendangan awal daripada album berjudul Anuar Zain yang dipasarkan, dua tahun lalu.

“Dengan lancarnya video muzik Belahan Hati, alhamdulillah lengkaplah sudah penceritaan dan kesinambungan lagu Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir,” katanya kepada BH Online.

Bermula dengan pelancaran lagu dan video muzik Andainya Takdir tahun lalu, adik kepada Ziana Zain ini mengambil taktik sama dengan single kedua, Cinta Takkan Berakhir, awal tahun ini.

Anuar berkata, video muzik Belahan Hati dipersembahkan secara eksklusif ketika dia menjayakan Konsert Anuar Zain Live In Singapore 2018 di The Star Theatre di republik itu, bulan lalu.

“Bagi peminat yang menanti video muzik ini, saksikannya di YouTube, Sabtu ini pada jam 1 pagi,” katanya.

Tambah menarik, video muzik arahan Amor Rizan itu menyaksikan Anuar berganding dengan Sharifah Sakinah sebagai pasangan suami isteri.

Selain Sakinah, video muzik berbentuk trilogi itu turut menampilkan Syafiq Nazri, Eyra Hazali dan Puteri Balqis. Malah, dalam video muzik terakhir, Faizal Hussein turut diundang sebagai penampilan istimewa.

Sementara itu, selepas tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Anuar terharu menjadi antara tiga selebriti yang diiktiraf pada acara The Brandlaureate Icon 2018 di ibu negara, kelmarin.

Penyanyi lagu Keabadian Cinta itu menerima anugerah The Brandlaurete Grand Master Brand Icon Leadership Award 2018.

“Terima kasih atas pengiktirafan ini yang kali pertama saya terima. Saya amat terharu atas penghargaan yang diberi kepada anak seni tempatan,” katanya.

Selain Anuar, Ratu Rock, Ella dan Datuk Ramli Sarip turut menerima pengiktirafan.

Berita Harian X