Ahad, 25 November 2018 | 12:42pm
PELAKON, Nelydia Senrose, ketika menghadiri sesi ramah mesra bintang Cinta Tiada Ganti bersama peminat di Wangsa Walk Mall. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Nelydia tunai umrah hujung tahun

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nelydia Senrose, 24, sengaja mengosongkan jadual lakonan menjelang Disember depan sebagai persediaan mengerjakan ibadat umrah.

Katanya, pemergian ke Tanah Suci Makkah dan Madinah sudah dibincangkan bersama keluarga sejak awal tahun lagi, manakala komitmennya bersama drama 100 episod, Cinta Tiada Ganti, juga sudah diselesaikan waktu itu.

“Insya-Allah saya bakal mengerjakan umrah bersama 11 lagi anggota keluarga pada akhir tahun ini. Kami akan berada di sana selama kira-kira dua minggu dan dijangka pulang pada awal 2019.

“Sebenarnya, niat untuk menunaikan ibadat berkenaan bersama keluarga, termasuk kakak saya, Uqasha, seakan-akan dipermudahkan Tuhan. Urusan dan persiapan ke Tanah Suci juga berjalan sangat lancar.

“Setakat ini, saya sudah melunaskan kerja penggambaran Cinta Tiada Ganti yang juga drama rantaian terpanjang pernah saya jayakan,” katanya pada majlis tayangan episod 96 drama terbabit di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Mengenai drama yang dibintangi bersama Aedy Ashraf, Ben Amir dan Atikah Suhaime itu, katanya, dia menerima tawaran menjayakan naskhah yang memerlukan komitmen cukup panjang itu kerana mahu mencabar kemampuan diri.

Kongsi pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Nik Sen itu lagi, walau pada awalnya dia agak berbelah bahagi untuk berlakon dalam projek terbabit, namun akhirnya dia nekad menggalas watak Arabella.

“Sebelum ini, komitmen paling lama pernah saya berikan kepada sesebuah produksi adalah untuk drama 60 episod. Kali ini, saya terpaksa menolak pelawaan produksi lain bagi memberi sepenuh perhatian terhadap Cinta Tiada Ganti.

“Sehingga September lalu, memang tumpuan saya hanya pada kerja penggambaran drama ini, yang ada kalanya dilakukan di luar kawasan. Mujur produser lain faham kenapa saya terpaksa menolak undangan mereka.

“Tahun lalu, saya sempat membintangi filem dan beberapa drama, namun tidak mengapa kerana komitmen terhadap satu-satunya projek tahun ini memberi 1,001 pengalaman manis,” ulasnya lagi.

3362 dibaca
Berita Harian X