Isnin, 19 November 2018 | 6:06pm
SHARNAAZ menyifatkan adik iparnya, Neelofa sebagai 'pengasuh' yang baik. Neelofa gemar memuat naik entri momen bersama Jebat di Instagram. - Foto IG Neelofa

Neelofa pandai jaga bayi - Sharnaaz

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad, 33, mengaku anak sulungnya, Jebat Jayden Ahmad sering dimanjakan keluarga terutama adik iparnya, Neelofa.

Sharnaaz atau nama penuhnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata, Neelofa pandai menjaga bayi malah menyifatkan dirinya ‘pengasuh’ yang boleh dipercayai.

“Neelofa sayang sungguh dengan Jebat dan selalu menjaga serta bermanja dengannya. Boleh dikatakan, dia seorang ‘pengasuh’ yang boleh dipercayai.

“Jebat sering dimanjakan Neelofa sehingga ada sahaja barangan dibeli. Lebih-lebih lagi apabila Neelofa balik dari luar negara, berbeg-beg hadiah untuk Jebat,” katanya kepada BH Online.

Sharnaaz berkata demikian apabila ditanya mengenai keakraban pelakon dan pengacara itu dengan anak sulungnya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan Jebat, Sharnaaz tidak menyekat minat anaknya untuk menceburi bidang yang diingini apabila dewasa kelak.

“Saya tak kisah sama ada dia mahu mengikut jejak saya dalam bidang lakonan atau sebagainya. Cuma saya harap dia tidak terbabit dengan macam-macam bidang sekaligus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz mula sibuk dengan kerja lakonan dan pengarahan.

“Saya sedang menjalani penggambaran super telefilem bersama Erra Fazira dan Shazwan Zulkifli berjudul Wangi.

“Selepas itu, saya akan mengarah dua telefilem di mana salah satunya saya berlakon sama.

“Bidang pengarahan adalah kerjaya yang saya suka. Saya mahu melakukan lebih banyak kerja pengarahan pada masa depan,” katanya.

3941 dibaca
Berita Harian X