Jumaat, 16 November 2018 | 7:44pm
Zur Eda bersyukur keluarganya selamat dalam kejadian banjir kilat, petang semalam. - Ihsan Zur Eda

Zur Eda reda rumah terjejas banjir

KUALA LUMPUR: Penyanyi era 1980-an, Zur Eda sebak mengenangkan keadaan kediamannya di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, di sini yang turut dilanda banjir kilat, petang semalam.

Zur Eda berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke Perlis untuk menjayakan persembahan, namun bersyukur keluarganya selamat.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Lama Tak Jumpa dan Kelmarin itu berkata, ia bukan kejadian pertama dilalui mereka sekeluarga sejak menetap di situ 30 tahun lalu.

“Rumah kami sudah biasa rumah dinaiki air setiap kali hujan berlarutan selama beberapa jam. Kebiasaannya, air hanya naik paras buku lali.

“Cuma, dalam kejadian terbaru, air sungai dari belakang kediaman melimpah menyebabkan barangan kelengkapan rumah dan perniagaan saya tidak dapat diselamatkan.

“Enam tahun lalu, kami pernah melalui kejadian yang sama dan tidak sangka, kami sekali lagi diuji. Kerugian kali ini agak besar kerana banyak barang kelengkapan rumah rosak,” katanya.

Penyanyi yang mendapat jolokan Sade Malaysia itu bagaimanapun, bersyukur apabila dua anaknya, Siti Sarah dan Mohd Naquib tiada di rumah ketika kejadian.

“Saya tidak tidur malam memikirkan keadaan rumah, tetapi bersyukur anak dan cucu terselamat. Saya terima ujian Allah dengan sabar dan reda.

“Ujian yang saya terima ini mungkin tidak besar berbanding orang lain yang pernah kehilangan ahli keluarga dalam insiden banjir.

“Barangan elektrik dan keperluan rumah yang rosak boleh diganti, tetapi tidak nyawa. Sekalipun nanti terpaksa tidur beralaskan lantai, saya tidak akan merungut kerana sekurang-kurangnya masih mempunyai tempat berteduh,” katanya.

Dia yang bergegas pulang ke ibu negara sejurus selesai persembahan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), petang tadi berkata, beberapa teman pernah menasihatkannya supaya berpindah.

“Bukan tidak mahu berpindah, tetapi rumah itu didirikan atas tanah pusaka. Dalam situasi ekonomi yang mencabar ini, saya tidak mahu menambahkan beban hutang.

“Saya hanya berharap wakil rakyat dan pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian memandangkan kami sudah terlalu banyak berdepan dengan kerugian,” katanya.

Berita Harian X