Khamis, 15 November 2018 | 1:33pm
ANUAR ketika beraksi di konsertnya di Singapura, bulan lalu. - Foto ihsan @mapheez

'Kalau ada lagu sesuai apa salahnya?'

KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain tidak menolak kemungkinan merakamkan single dengan anak saudaranya, Ernie Zakri dan Syamel jika ada lagu sesuai.

Anuar yang dikenali sebagai artis yang cukup teliti dalam menghasilkan produk memberitahu, banyak aspek perlu dilihat dalam menggerakkan projek kolaborasi bersama penyanyi lain.

“Bagi saya, kalau ada lagu yang sesuai dan kena dengan masa, apa salahnya.

“Tapi semua ini perlu perancangan sesuai. Insya-Allah cadangan begini (duet dengan Ernie dan Syamel) boleh dipertimbangkan.

“Namun, perlu dilihat kesesuaian dan keserasian dengan mereka,” katanya kepada BH Online.

Anuar berkata, dia juga tidak keberatan merakamkan semula lagu Kain Pelikat yang didendangkan bersama Elina Razak ketika remaja.

“Buat masa ini, saya belum memikirkannya... Mungkin jika sesuai dan ada banyak permintaan, saya boleh fikirkan.

“Insya-Allah, jika diizin dan dipermudahkan, saya sedia rakamkan kembali lagu nostalgia itu,” katanya yang popular dengan rangkaian lagu balada meruntun jiwa sejak bergerak solo.

Mengulas pengalaman bertemu peminat dalam konsert Anuar Zain Cinta Takkan Berakhir Live In Singapore 2018, baru-baru ini, Anuar bersyukur dapat menayangkan video muzik lagu Belahan Hati iaitu kesinambungan dua single terdahulu, Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir.

“Video muzik Belahan Hati akan disiarkan di YouTube, tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Anuar mengaku mahu mengurangkan berat badannya sebanyak lapan kilogram (kg) lagi.

“Ketika konsert di Singapura, saya gembira kerana ada baju lama yang boleh dipakai.

“Saya lebihkan kepada penjagaan pemakanan, kurangkan karbohidrat terutama nasi dan elak pengambilan gula berlebihan.

“Saya cuba makan secara sihat seboleh mungkin,” katanya.

944 dibaca
Berita Harian X