Isnin, 12 November 2018 | 12:37pm
UYAINA enggan mempersiakan peluang diberi stesen TV, Indosiar untuk mengendalikan program realiti Dangdut Akademi Asia Keempat bersama tiga hos lain. - Foto IG Uyaina Arshad

Uyaina cari rezeki di Jakarta

KUALA LUMPUR: Ketika ramai artis dan selebriti Indonesia ‘mengidam’ ditawarkan tugas sama, tuah menyebelahi Uyaina Arshad yang terpilih menjadi hos pertandingan Dangdut Akademi Asia (DAA) Keempat yang sedang hangat berlangsung.

Muncul artis Malaysia pertama mengemudi program realiti popular terbitan stesen televisyen (TV) Indonesia itu, Uyaina yang memenangi gelaran Puteri Muslimah Asia 2018, enggan mempersiakan peluang diberi.

Lantas, sejak bulan lalu, Jakarta sudah menjadi rumah kedua Uyaina. Sehingga akhir tahun ini, gadis manis ini berulang alik antara dua kota bagi memenuhi komitmen tugas.

Jun lalu, Uyaina atau nama penuhnya, Shaidatul Naseha Uyaina Arshad, 26, pernah diberi kepercayaan mengacarakan program Aksi Asia 2018 yang dianjurkan di Jakarta.

“Komitmen saya untuk program DAA4 boleh dikatakan hari-hari. Saya beruntung kerana tiga hos lain iaitu Irfan Hakim, Ramzi, dan Gilang Dirga sangat berpengalaman dan terkenal.


UYAINA enggan mempersiakan peluang diberi stesen TV, Indosiar untuk mengendalikan program realiti Dangdut Akademi Asia Keempat bersama tiga hos lain. - Foto IG Uyaina Arshad

“Mereka ‘gila-gila’ jadi senang mewujudkan keserasian. Masing-masing hargai saya dan banyak membantu saya sebagai orang baharu,” katanya kepada BH Online.

Uyaina berkata, dia tidak menyangka diberi peluang mengendalikan program besar seperti DAA4.

“Irfan beritahu ramai artis Indonesia mahukan posisi sama, tapi tuah lebih menyebelahi saya.

“Jadi saya kena buat yang terbaik dan tidak mudah berputus asa. Stesen TV, Indosiar juga berani mengambil risiko meletakkan saya sebagai pengacara,” katanya.

Sejak bergiat aktif di Jakarta, Uyaina pantas mengumpul peminat di sana.

“Kelompok peminat Indonesia begitu bersemangat menyokong saya. Kejayaan menjuarai Puteri Muslimah ternyata membuka rezeki yang banyak buat saya.

“Saya harap ini ruang terbaik untuk melebarkan sayap di Indonesia,” katanya yang pernah mengacara program Nona, Wanita Hari Ini (WHI) dan Kashoorga Talk di Malaysia.

Selain mengacara, Uyaina menunjukkan bakat dalam bidang lakonan. Drama sulungnya, Lelaki Kiriman Tuhan terbitan Zeel Production sudah menemui peminat, baru-baru ini.

2889 dibaca
Berita Harian X