Sabtu, 10 November 2018 | 2:26pm
DIANA selamat melahirkan cahaya mata ketiga secara normal di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi tadi. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Diana Amir sambut anak ketiga

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Diana Amir selamat melahirkan cahaya mata ketiga secara normal di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor pada jam 2.16 pagi tadi.

Diana atau nama penuhnya, Nurdiyana Amir Hashim, 33, meluahkan kesyukuran dikurniakan bayi lelaki seberat 3.12 kilogram dua hari lebih awal dengan lancar.

“Alhamdulillah, saya terharu dengan doa semua pihak sejak dari awal kehamilan hingga selamat bersalin. Semoga Allah pulangkan segala kebaikan kepada anda semua.

“Jika diikutkan, tarikh jangkaan bersalin adalah lusa tetapi Allah bagi anugerah awal.

“Saya memang berdoa proses ini lancar tanpa melalui tempoh kontraksi yang panjang. Selepas lima minit masuk bilik bersalin, saya selamatkan melahirkan bayi ini,” luahnya melalui Instagram.


DIANA berkongsi berita gembira selamat melahirkan anak ketiga awal pagi tadi, melalui entri di Instagram. - Ihsan IG Diana Amir

Diana turut mendoakan semua ibu yang bakal bersalin dipermudahkan urusan kelahiran cahaya mata masing-masing.

“Kepada yang bakal melahirkan anak, anda pasti Allah tidak sia-siakan kesabaran menanggung kesakitan. Syukur diberi peluang untuk menghapus dosa dengan cara yang indah.

“Saya doakan yang belum dikurniakan zuriat akan memperoleh rezeki yang terbaik dariNya, pengikat kasih sayang suami isteri dan mampu menjadi saham di akhirat kelak... Amin!” katanya.

Diana mendirikan rumah tangga dengan Mohd Habibullah A Rahman pada 25 Oktober 2013 dan dikurniakan dua anak iaitu Khaulah Al Azwar pada 2015 disusuli cahaya mata kedua, Khadija Azzehra pada 4 Januari tahun lalu.

2103 dibaca
Berita Harian X