Jumaat, 9 November 2018 | 2:34pm
OSMAN akur judul mengelirukan punca kontroversi drama terbaru arahannya. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mana ada sewa isteri...

KUALA LUMPUR: Pengarah Osman Ali menyifatkan kontroversi drama bersiri terbaru arahannya, Isteri Untuk Disewa berpunca daripada judulnya yang mengelirukan.

Mengulas perkara itu, Osman bagaimanapun, mempertahankan tiada babak menyewa isteri seperti yang dibangkitkan netizen sehingga mendapat mendapat teguran Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, semalam.

“Tiada langsung babak menyewa isteri seperti yang didakwa, sebaliknya ia memaparkan watak utama yang menyamar sebagai isteri atas alasan tertentu.

“Mereka yang menonton atau pernah membaca novelnya, pasti mengetahui situasi sebenar. Saya bagaimanapun, tidak menafikan judul drama itu memang mengelirukan hingga menimbulkan salah faham ramai,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Meskipun tidak begitu selesa dengan kontroversi yang tercetus, pengarah filem Langsuir dan Ombak Rindu ini tetap menghormati pandangan serta teguran yang diberikan tokoh agama itu.

“Mungkin ada yang menganggap, kontroversi membantu dari segi publisiti. Tetapi, saya memang tidak selesa dengan kontroversi, terutama apabila terpaksa berdepan dengan komen negatif netizen yang tidak mengetahui jalan cerita sebenar.

“Mengenai teguran mufti, saya lihat ia dari sudut positif. Dapat juga saya belajar ilmu baharu supaya lebih berhati-hati ketika berkarya pada masa hadapan.

“Ia turut memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk stesen televisyen supaya lebih peka dan sensitif apabila memilih judul supaya tidak bercanggah dengan hukum agama,” katanya.

Terdahulu, perkongsian status Zulkifli di laman sosial Facebook dan Instagram, berhubung surat terbuka kepada Osman menarik perhatian netizen.

Menerusi statusnya itu, Zulkifli menyatakan tajuk drama berkenaan sekiranya difahami secara zahir amat bertentangan dengan nas al-Quran dan sunnah, begitu juga nilai moral kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

Drama adaptasi novel Isteri Untuk Disewa karya Syamnuriezmil ini menampilkan lakonan Fattah Amin dan Tiz Zaqyah.

6928 dibaca
Berita Harian X