Jumaat, 9 November 2018 | 12:18pm
SARAH menyelitkan elemen rap dalam single keduanya, Nyawa Dan Raga. - NSTP/Aswadi Alias

Sarah mahu dikenali sebagai penyanyi rap bertudung

KUALA LUMPUR: Juara Big Stage, Sarah Suhairi, 18, mengakui minat terhadap irama rap mencetuskan keberanian untuk menyelitkan elemen itu dalam single terbarunya, Nyawa Dan Raga.

Sarah juga berharap, percubaan itu membuka mata umum terhadap kemampuannya sebagai penyanyi rap berhijab tempatan pertama.

“Saya memang sukakan lagu rap, terutama yang dipopularkan penyanyi antarabangsa. Cuma, kebiasaannya penggunaan bahasa untuk lirik lagu rap luar agak kasar dan kurang sesuai dengan budaya Timur.

“Saya hanya mencuba kerana ingin dikenali sebagai penyanyi berhijab pertama merakamkan lagu rap,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single keduanya itu, petang semalam.

Nyawa dan Raga ditulis oleh Room None, manakala lirik nukilan Iman Imran.

Sarah Suhairi berkata, perjalanan kerjaya nyanyiannya semakin lancar selepas muncul juara program realiti, Big Stage.

“Video muzik single pertama saya, Pedih mengambil masa hampir empat bulan untuk mencecah sejuta tontonan di YouTube.

“Namun, saya agak terkejut apabila video muzik Nyawa Dan Raga hanya mengambil masa empat hari untuk mencecah angka itu selepas dilancarkan pada 15 Oktober lalu,” katanya.

Sarah juga bersyukur, kehadirannya semakin disedari apabila jumlah pengikutnya di Instagram turut meningkat.

“Sebelum ini, saya hanya mempunyai hampir 100,000 pengikut apabila sering memuat naik rakaman semula lagu yang pernah dipopularkan penyanyi lain.

“Kini, pengikut saya mencecah hampir 400,000. Ketika menyertai Big Stage, saya mempunyai kelab peminat yang dipanggil Sarahae.

“Setiap kali membuat persembahan, mereka akan turun padang untuk memberikan sokongan,” katanya artis naungan MVM Production ini.

1761 dibaca
Berita Harian X