Khamis, 8 November 2018 | 5:48pm
NORYN tidak biarkan kemelut rumah tangga gugat fokus membina semula kerjaya nyanyian. - Foto Hafiz Sohaimi

'Saya perlu kuat demi masa depan'

Oleh Farihad Shalla Mahmud

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyanyi Noryn Aziz yang sedang berdepan kemelut rumah tangga menyifatkan, apa yang dilalui itu bukan halangan untuk dia membina semula kerjaya seninya yang pernah terhenti.

Tidak sesekali membiarkan dirinya larut dalam kemelut yang melanda, Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 42, berkata tumpuannya kini hanya meneruskan semula kerjaya nyanyian demi masa depan.

“Saya perlu bangkit dan memandang ke depan. Kerjaya nyanyian adalah masa depan dan peluang yang terbentang ini membuatkan saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

“Dalam keadaan sekarang, ketika masih bergelut dengan pertandingan, Gegar Vaganza musim kelima (GV5), apa yang saya perlukan adalah ketenangan.

“Saya masih dalam fasa membina semula nama, di samping meneruskan kehidupan. Mengenai penamat terhadap isu rumah tangga, saya serahkan perkara itu kepada Allah,” katanya.

Noryn yang ditemui pada sidang media Konsert Soul Sisters di sini, semalam berkata, anak lelakinya, Raja Bariq Umar Shah, 4, menjadi sumber kekuatan untuk dia terus mengharungi dugaan.

Dia juga menyifatkan, sokongan padu diterima daripada ibu bapa dan orang sekeliling membuatkan dirinya lebih positif mendepani hidup.

“Tipu kalau saya tidak terasa apa-apa kerana saya juga punya hati dan perasaan. Cuma, setiap kali berdepan masalah, saya selalu berfikiran positif.

“Tambahan pula saya masih berjuang dalam GV5, membuatkan saya terpaksa membuang jauh semua masalah.

Saya perlu fokus memberikan yang terbaik kerana jika tidak, rugi segala masa dan tenaga saya selama menyertai pertandingan itu,” katanya.

Ketika diminta mengulas tindakan suaminya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah yang memfailkan tuntutan nusyuz terhadapnya, penyanyi yang popular menerusi lagu Fantasi O Realiti ini lebih selesa mengunci mulut.

“Perkara ini sudah dibawa ke mahkamah dan saya dinasihatkan untuk tidak memberi sebarang komen kerana bimbang ia akan mengganggu proses perbicaraan.

“Lagipun, bukan cara saya untuk berkongsi hal peribadi dengan khalayak. Segala permasalahan membabitkan isu rumah tangga, biar hanya saya yang tahu,” pintanya mengharap pengertian.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

2383 dibaca
Berita Harian X