Khamis, 8 November 2018 | 2:49pm
PENYANYI dan komposer, Asfan Shah. - Foto Rosela Ismail

Asfan buka laluan untuk bakat baharu

KUALA LUMPUR: Sedekad dalam industri muzik, penyanyi dan komposer, Asfan Shah akur, dia tidak boleh selamanya selesa dengan apa yang dimiliki.

Justeru, sejak tiga tahun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Alasan Untuk Bahagia itu menubuhkan syarikat produksi, Blackbeast Entertainment, bertujuan mencari bakat baharu berpotensi untuk diketengahkan.

“Saya mencari bakat baharu yang dedikasi dan positif untuk mewarnai industri muzik. Sebelum ini, saya pernah membantu menaikkan nama kumpulan Qanda.

“Saya perlu fokus mencari bakat baharu untuk meneruskan legasi yang saya mulakan. Alhamdulillah, karya saya juga terus mendapat kepercayaan.

“Terbaru, saya menghasilkan lagu untuk penyanyi berpengalaman, Deja Moss serta Safura Yaacob. Selepas 12 tahun tidak muncul dengan lagu baharu, saya terharu mendapat kepercayaan Deja menghasilkan Menepis Rawan,” katanya.

Asfan berkata, sebagai komposer, dia sudah lama menyimpan impian untuk bekerjasama dengan penyanyi berpengalaman dan tawaran diberikan Deja itu diibaratkan seperti orang mengantuk disorong bantal.

“Deja saya anggap sebagai antara penyanyi legenda dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada individu penting untuk kemunculan semulanya ,” katanya.

Pada masa sama, Asfan memaklumkan, dia juga bakal memperkenalkan artis baharu, Haikal Farid yang bernaung di bawah pengurusannya.

Mempertaruhkan single pertama, Demam Cinta, Asfan berkata, dia pada awalnya berhasrat merakamkan lagu itu sebagai kesinambungan kerjaya nyanyiannya.

Namun, bapa kepada tiga cahaya mata itu sedia memberi laluan kepada Haikal kerana lagu itu bersesuaian dengan karakter vokalnya.

“Selama ini, peminat lebih mengenali saya sebagai penyanyi balada. Banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan sekiranya mahu beralih konsep kepada lagu pop.

“Jadi, saya serahkan lagu itu kepada Haikal untuk dinyanyikan,” katanya.

Asfan berkata, Haikal diperkenalkan pengacara dan penulis lirik terkenal, Ahmad Fedtri Yahya pada Januari lalu, seterusnya memasuki studio rakaman pada April.

235 dibaca
Berita Harian X