Khamis, 8 November 2018 | 9:33am
APRENA seronok berlakon bersama Nazim malah mengaku masing-masing serasi dan 'gila-gila' di lokasi.- Foto IG Aprena Manrose

Nazim bukan 'diva' - Aprena Manrose

KUALA LUMPUR: Pertama kali berganding dengan Nazim Othman dalam drama Mr Ferrari Miss Lamborghini, Aprena Manrose menolak dakwaan kononnya aktor itu berlagak ‘diva’ ketika di lokasi.

Aprena yang baru selesai menjalani penggambaran drama itu mengaku seronok bekerjasama dengan Nazim.

“Setakat ini, saya gembira dapat berlakon dengan Nazim.

“Sebelum ini, saya ada dengar kononnya lagak dia macam ‘diva’. Tapi selepas berkenalan dan bekerjasama dalam drama ini, dia okay... Kepalanya memang gila-gila.

“Kalau tengok rakaman video yang saya kongsi di IG Story, boleh nampak perangai saya dan dia sama-sama ‘gila’,” katanya kepada BH Online.


APRENA seronok berlakon bersama Nazim malah mengaku masing-masing serasi dan 'gila-gila' di lokasi.- Foto IG Aprena Manrose

Biarpun dilihat belum menempa nama seperti sepupunya iaitu Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose, Aprena percaya rezekinya dalam dunia lakonan tetap ada.

Sedikit demi sedikit kehadiran Aprena mula diperhatikan selepas diberi kepercayaan memegang watak utama drama Tiada Arah Jodoh Kita bergandingan dengan Shukri Yahaya.

Tidak lama lagi, Aprena dijangka memulakan penggambaran sebuah telefilem bergandingan dengan Amar Asyraf dan drama untuk slot Samarinda.

“Alhamdulillah rezeki saya dalam lakonan tak putus. Memang lepas kahwin, makin murah rezeki saya.

“Walaupun tawaran yang diterima bukan semata-mata heroin, saya optimis dengan peluang diberi... Watak pembantu pun saya terima,” katanya.

Mengenai rumah tangganya dengan Mohd Afiq Hazman, 31, Aprena atau nama penuhnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman memberitahu, dia belum dikurniakan rezeki menimang zuriat.

“Memang saya nak anak, begitu juga suami. Kami tak merancang hendak menimang anak pada masa tertentu. Cuma belum ada rezeki... Usia perkahwinan pun belum sampai dua tahun.

“Tapi saya bersyukur rezeki tak pernah putus di pentas seni. Mungkin juga Tuhan murahkan rezeki saya dalam pekerjaan tetapi belum lagi memiliki cahaya mata,” katanya yang menikahi Afiq pada November 2016.

Selain Aprena, kakaknya, Oktavia Manrose juga memilih bidang lakonan sebagai sumber pendapatan.

3374 dibaca
Berita Harian X