Rabu, 7 November 2018 | 11:46am
LAGU dangdut taruhan terbaru Shiha untuk terus lakar nama di Indonesia. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Shiha lega tunai janji

KUALA LUMPUR: Hampir tiga tahun mencipta nama di Indonesia selepas memenangi tempat ketiga pertandingan D’Academy Asia pada 2015, Shiha Zikir bersyukur, hasrat merakamkan lagu khusus buat peminat di negara itu bakal menjadi kenyataan.

Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir berkata, dia bakal merakamkan lagu dangdut ciptaan Atra Petrana sebagai hadiah untuk peminat di Indonesia yang begitu setia menanti buah tangan terbarunya.

“Saya sepatutnya sudah ke Jakarta untuk melunaskan proses memasukkan vokal, namun terpaksa ditunda kerana terikat dengan penggambaran telefilem, Dari Jauh dan beberapa komitmen lain.

“Lagu itu masih belum diberi judul. Mengikut perancangan, selesai proses rakaman, kami akan terus menjalani penggambaran video muzik di sana.

“Saya agak teruja menjayakan projek ini kerana ia pertaruhan pertama saya merakamkan lagu dangdut. Semua ini berkat sokongan peminat program realiti itu yang ingin melihat saya terus berkongsi bakat di sana,” katanya.

Pemilik syarikat, SZ Empire Entertainment itu mengakui, sebelum ini, hatinya resah selagi tidak melunaskan impian peminat yang mahu melihatnya merakamkan lagu dangdut.

“Saya mahu lihat dahulu penerimaan peminat di sana sebelum melancarkan lagu itu di negara sendiri. Sebagai penyanyi, tiada salahnya saya mencuba genre berbeza untuk mempamerkan kemampuan sebenar.

“Saya ingin dikenali sebagai penyanyi serba boleh dan berharap percubaan ini dapat membuktikan sejauh mana kemampuan sebagai penghibur,” katanya.

Ketika ini, Shiha sedang melunaskan baki penggambaran Dari Jauh yang diterbitkan sempena Anugerah Juara Lagu 33, Februari depan.

“Sedikit sebanyak kerinduan saya terhadap bidang lakonan terubat dengan kemunculan telefilem ini. Sebelum ini, saya ada menerima beberapa tawaran dari produksi di sini dan Indonesia, namun terpaksa ditolak kerana kekangan masa.

“Ada juga yang terpaksa dilupakan kerana watak ditawarkan tidak bersesuaian dengan diri. Seronok berlakon, tambahan pula saya bergandingan dengan Ariff Bahran sebagai adik-beradik yang tegar mengharungi hidup selepas ketiadaan ibu bapa,” katanya mengenai telefilem arahan Kyoll Hamzah itu.

Shiha juga mengakui teruja kerana lagu nyanyiannya, Jagakan Dia mara sebagai calon Separuh Akhir Muzik Muzik 33.

520 dibaca
Berita Harian X