Isnin, 5 November 2018 | 2:35pm
NAD Zainal. - NSTP/Saddam Yusof
NAD meraikan detik kejayaan memenangi trofi Pelakon Drama Wanita Terbaik melalui lakonannya dalam drama Fatonah Azali pada ASK 2018 bersama suami, Muhammad Faliq, Jumaat lalu. - Foto IG Nad Zainal

Nad mahu cuba Korea

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nad Zainal berhati-hati memilih naskhah bagi memastikan watak yang dilakonkan berbeza dengan karakter diri.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, sebagai anak seni, dia lebih menyenangi watak mencabar bagi memperbaiki kualiti lakonan.

“Sejak dulu lagi, saya lebih memilih drama berat. Ini kerana selain mencabar kemampuan diri, kita boleh menjadi sesuatu yang berbeza daripada diri sendiri.

“Mungkin juga peningkatan usia membuatkan saya menerima tawaran sesuai,” katanya kepada BH Online.


NAD meraikan detik kejayaan memenangi trofi Pelakon Drama Wanita Terbaik melalui lakonannya dalam drama Fatonah Azali pada ASK 2018 bersama suami, Muhammad Faliq, Jumaat lalu. - Foto IG Nad Zainal

Pada Anugerah Skrin 2018, Jumaat lalu, Nad menang trofi Pelakon Drama Wanita Terbaik melalui lakonannya sebagai gadis autisme dalam drama Fatonah Azali.

Nad berkata, pelakon bagaimanapun boleh menerima tawaran watak santai daripada terus dibeban dengan karakter berat.

“Tidak salah sekali sekala kita menerima watak dan drama santai. Selain memberi kelainan daripada segi watak, pelakon dapat berehat daripada karakter sarat air mata.

“Contohnya, sekarang saya membawa watak peguam yang memerlukan kajian menyeluruh untuk menjayakan karakter itu. Lazimnya, saya membuat ‘homework’ apabila diberi tawaran yang berbeza dengan karakter diri,” katanya.

Nad berkata, dia teringin melakonkan watak insan patriotik.

Selain itu, Nad berkongsi perancangan mengikuti kelas bahasa Korea disebabkan minat.

“Saya mahu belajar bahasa Korea dan mengintai peluang melebarkan sayap ke negara itu.

“Tidak kisah, biarpun sekadar membawakan watak pembantu, saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza untuk perkembangan kerjaya,” katanya.

Nad mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin, 29, pada 2015. Mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Fahad Ibrahim yang berusia dua tahun.

128 dibaca
Berita Harian X