Sabtu, 3 November 2018 | 6:38pm
PELAKON, Marsha Milan Londoh. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Tak kisah banyak kali jadi hantu

PETALING JAYA: Pelakon, Marsha Milan, tidak menolak untuk kembali memegang watak hantu atau membintangi filem seram walaupun dirinya seorang yang penakut.

Menurut Marsha, dia akan terus mencabar diri dengan melakonkan apa sahaja watak selagi produser atau pengarah masih mempercayai bakatnya.

“Saya tidak kisah untuk terus berlakon filem hantu atau cerita seram. Apa juga watak dihulurkan, ia tentu sahaja menjadi ruang untuk saya mempelbagaikan gaya lakonan.

“Sebagai pelakon, saya tak boleh memberikan lakonan yang sama sahaja, biar apa juga karakter dijayakan. Menjadi tanggungjawab saya untuk menggalas amanah diberikan dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Tujuh di Mutiara Damansara, di sini.

Bakal menemui penonton di pawagam mulai 8 November ini, selain Marsha, filem arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin itu turut dilakonkan Johan As’ari, Pekin Ibrahim, Siti Saleha, Cristina Suzanne, Riz Amin dan Faizal Hussein.

Marsha yang turut dikenali sebagai penyanyi berkata, sudah beberapa kali dia melakonkan watak hantu di televisyen.

“Di layar perak pula, baru dua kali saya diberikan watak sebegitu. Malah, Tujuh sebenarnya pengalaman pertama saya memainkan watak hantu.

“Cuma, berikutan masalah tertentu, filem terbitan Primeworks Studios ini perlu menunggu hampir enam tahun untuk menemui penonton,” katanya yang turut menjayakan watak sedemikian dalam filem arahan Osman Ali, Jwanita (2015).


MARSHA tidak menolak untuk kembali memegang watak hantu atau membintangi filem seram. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Bercerita lanjut, Marsha berkata, karakter Suri dilakonkannya dalam filem itu dianggap cukup berbeza jika dibandingkan dengan beberapa karya pernah dijayakan sebelum ini.

“Sebelum bertukar menjadi hantu, Suri sebenarnya seorang gadis yang naif dan bersikap tenang. Ia memang jauh berbeza dengan karakter sebenar saya yang ‘gila-gila’.

“Saya turut mencabar diri dengan melakukan babak aksi. Dalam filem ini, ada babak yang memerlukan saya menaiki kren bagi adegan yang menampakkan watak lakonan saya seperti dihempas ke gaung. Biarpun gayat, saya perlu melawan rasa takut.

“Saya sahut cabaran menjayakan babak itu bagi memberikan lebih impak kepada watak Suri. Pengarah juga enggan bergantung harap pada teknik imejan janaan komputer (CGI) kerana dia mahukan sesuatu yang tampak lebih hidup,” katanya.

Menerusi filem terbabit, Marsha turut berduet dengan Qody Rani menyanyikan lagu Ku Bersumpah, ciptaan Kausar.


MARSHA (tengah) bersama pelakon filem Tujuh pada majlis tayangannya di Mutiara Damansara. - NSTP/Saddam Yusoff

Berita Harian X