Khamis, 1 November 2018 | 12:51pm
FOTO jari bersarung cincin yang dikongsi Raja Ilya di laman sosial merungka status dirinya yang sudah bergelar tunangan orang. - Foto IG Raja Ilya

#imengaged rungkai status Raja Ilya

KUALA LUMPUR: Sah tunangan orang.

Entri dimuat naik Raja Ilya di Instagram, malam tadi, membuktikan aktres jelita itu sedang bahagia.

Foto jari bersarung cincin sambil tangan digenggam individu dipercayai TWG, iaitu kekasih Raja Ilya, diiringi tanda pagar #imengaged (saya bertunang), memberi jawapan kepada status bintang tinggi lampai itu.

Sebelum ini, kisah cinta Raja llya dengan jejaka dari Australia itu bukan lagi rahsia.

Mendapatkan Ilya, pelakon filem Soulmate Hingga Jannah itu mengesahkan dirinya sudah bertunang dengan TWG.


RAJA Ilya dilamar jejaka dikenali sebagai TWG di hadapan keluarga di Pulau Langkawi, baru-baru ini. - Foto IG Raja Ilya

“Ia adalah kejutan lamaran daripada TWG dan keluarga. Mereka merancang semuanya bersama teman baik saya di mana kami pergi ke Pulau Langkawi untuk suatu acara.

“Di pulau itu, teman baik saya mengajak makan malam di sebuah restoran. Saya hanya mengikut. Tanpa diduga, TWG muncul sambil diiringi lagu romantik yang dimainkan band di restoran terbabit.

“Dia melutut di depan saya dan melamar... Semua ini berlaku tiga hari lalu. Bayangkan, dia buat semua itu di depan orang ramai dan keluarga.

“Terasa bagai menjalani penggambaran drama pula... Sungguh tak disangka tetapi saya amat gembira,” katanya kepada BH Online.

Tambah Raja Ilya, dia mula mengenali TWG sejak enam tahun lalu.

“Saya kenal dirinya ketika bertugas sebagai pramugari Air Asia. Ketika itu, dia menjadi penumpang dalam penerbangan saya.

“Tak sangka, jodoh kami berpanjangan. Kami dilahirkan dalam bulan sama iaitu Julai. Dia berusia 37 tahun dan terbabit dalam dunia perniagaan,” katanya.

Mengenai perancangan berkahwin, Raja Ilya memberitahu, mengikut perancangan, hari bahagia mereka adalah pada tahun depan.

“Namun, tarikh kahwin biarlah disembunyikan dulu,” katanya .

Ketika ini, Raja Ilya berada di Sri Lanka bagi menjalani penggambaran untuk sebuah produk jenama antarabangsa.

Berita Harian X