Khamis, 1 November 2018 | 9:53am
LANA ketika menjalani pemeriksaan kesihatan ditemani suami, Mohd Daud McKienzie dan anak sulung mereka, Gia Quinn McKienzie. - Foto IG Lana Nodin

Hamil anak kedua, Lana malas bersolek

KUALA LUMPUR: Menunggu hari bersalin, pelakon Lana Nodin mengaku pengalaman hamil anak kedua berbeza.

Cepat letih, Lana yang merahsiakan jantina bayi dikandung, berharap proses melahirkan cahaya matanya itu dipermudahkan.

“Proses kehamilan kali ini agak berbeza... Saya cepat mengah dan penat. Biasalah, kata orang, lain anak, lain pula pembawaannya.

“Saya juga jadi malas pergi ke dapur... Nak masak pun kurang minat. Selain itu, saya tak gemar bersolek.

“Pada trimester pertama, alahan yang saya alami teruk. Ini berbeza ketika kali pertama hamil dulu,” katanya kepada BH Online.

Lana yang pernah mendapat jolokan Pamela Anderson Malaysia berkata, dia pernah mengalami masalah pendarahan sepanjang proses kehamilan kali ini.


LANA dan suami menunggu detik kelahiran cahaya mata kedua pada bila-bila masa. - Foto IG Lana Nodin

“Apa yang penting, saya harap segala-galanya dipermudahkan sehingga detik melahirkan bayi. Soal jantina anak, biarlah saya rahsiakan dulu,” katanya.

Sementara itu, Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin berkongsi perancangan terbaru iaitu menawarkan khidmat penjagaan wanita bersalin dan produk berpantang.

Isteri kepada pemain bola tampar berasal dari Amerika Syarikat (AS), Mohd Daud McKienzie itu mengaku tidak sabar melancarkan perniagaan yang diusahakan atas titik peluh sendiri.

“Selepas ramai orang tahu saya akan melahirkan anak kedua, banyak syarikat yang mengendalikan khidmat penjagaan wanita bersalin dan produk berpantang mendekati.

“Saya fikir artis lain yang sedang hamil juga berdepan situasi ini. Selepas menimbang banyak perkara, saya fikir kenapa tidak saya mengusahakan perniagaan begitu,” katanya.

Lana berkata, dia sudah merujuk perkara itu kepada pihak berpengalaman dan memiliki kelayakan untuk mengendalikan khidmat penjagaan wanita bersalin.

“Selama ini, saya was-was apabila didatangi syarikat yang menawarkan khidmat sama. Selain itu, saya tahu, ada ibu hamil dan yang sudah bersalin, mengambil mudah soal berpantang.

“Atas kesedaran ini, saya mahu mengambil inisiatif sendiri menawarkan khidmat penjagaan ibu bersalin dan berpantang,” katanya yang bakal menamakan perniagaan itu sebagai Lana Health & Beauty Traditional Care.

Ibu kepada Gia Quinn McKienzie ini pernah menghasilkan produk pelangsing badan termasuk jus ibu kunyit, pembakar lemak dan detoks.

Lana dan Mohd Daud mendirikan rumah tangga pada 15 Mei 2015.

Berita Harian X