Isnin, 29 Oktober 2018 | 6:00pm
ZAMANI masih berehat selepas berdepan masalah peti suara koyak, malam tadi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Terserah Zamani untuk buat keputusan'

KUALA LUMPUR: Pengurus Zamani, Aalan Ahmad menafikan dakwaan penyanyi itu mahu menarik diri daripada daripada program realiti, Gegar Vaganza musim kelima (GV5) selepas berdepan masalah kesihatan, malam tadi.

Tegas Aalan, sehingga ini tiada sebarang perbincangan mengenai isu penarikan diri dibuat bersama pihak produksi, biarpun perkara itu hangat diperkatakan.

“Selepas insiden malam tadi, Zamani memang tidak banyak cakap dan hanya mendiamkan diri. Tetapi, jika dia sendiri yang bersuara untuk menarik diri atas alasan kesihatan, saya tak boleh buat apa-apa.

“Itu terpulang kepadanya, tetapi ingin saya tegaskan di sini, Zamani masih lagi peserta program itu,” katanya kepada BH Online.

Mengenai dakwaan bekas vokalis kumpulan itu Slam itu dipaksa menyanyi dalam keadaan tidak sihat, Aalan berkata mereka mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.

“Sebelum program bermula, Zamani memang sihat. Tiada tanda dia diserang demam atau batuk. Namun, jam 3 petang semalam, dia mengadu suaranya tidak keluar.

“Saya ingatkan tiada yang serius dan mendapatkan ubat dari farmasi berdekatan. Namun, keadaan menjadi semakin teruk ketika program hampir bermula.

“Selepas berbincang dengan semua pihak, Zamani bersedia muncul di atas pentas untuk membuktikan dia sememangnya sakit.

“Kami tidak mahu apabila tiba-tiba dia tidak muncul, orang akan salah sangka dan menganggap dia mempunyai masalah disiplin,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu, Aalan berkata, Zamani kini sedang berehat dan tidak menerima rawatan di hospital.

Dalam persaingan minggu kelima yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi, Zamani gagal menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta akibat peti suara koyak.

Dia bagaimanapun, terselamat daripada penyingkiran selepas mendapat imuniti.

1742 dibaca
Berita Harian X