Sabtu, 27 Oktober 2018 | 6:21pm
PELAWAK, Zamatul Amri Zakaria atau Tauke Jambu berkahwin dengan Nadia Mohd Effendi di Shah Alam, Disember tahun lalu. - NSTP/Osman Adnan

Tauke timang anak ketujuh

KUALA LUMPUR: Pelawak, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 42, menyambut kelahiran anak ketujuhnya, malam tadi.

Bintang Abang Long Fadil dan Rempit Sampai Langit itu berkongsi berita gembira terbabit menerusi Instagramnya, kira-kira 20 jam lalu.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Isteri, @nadiayaya6 selamat melahirkan anak perempuan di Hospital Serdang, tepat jam 8.28 malam. Terima kasih kepada yang mendoakan,” tulis pelawak itu.

Sehingga kini, perkongsian dalam bentuk video itu sudah pun disaksikan lebih 200,000 orang selain menerima lebih 1,200 komen. Rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada pelawak itu, termasuk daripada teman selebriti.

Bayi perempuan berkenaan adalah hasil perkahwinannya dengan Nadia Mohd Effendi, 29.


TAUKE berkongsi video anaknya yang dilahirkan di sebuah hospital di Serdang, semalam. - Ihsan Instagram Tauke

Pasangan terbabit berkahwin pada Disember tahun lalu, di Shah Alam. Ia adalah perkahwinan keempat Tauke, selepas lima tahun menduda.

Menerusi perkahwinan terdahulu, pelawak yang juga dikenali sebagai pelakon, pengacara dan penyanyi itu dikurniakan enam cahaya mata.

1862 dibaca
Berita Harian X