Sabtu, 27 Oktober 2018 | 3:43pm
PENYANYI, Anuar Zain. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Lengkap trilogi 'kisah cinta' Anuar Zain

SINGAPURA: Impian penyanyi terkenal, Anuar Zain, untuk melancarkan tiga single berangkai berserta video muziknya secara berperingkat akhirnya terlaksana.

Malam tadi, pada konsert Anuar Zain Live In Singapore 2018 di The Star Theatre, di sini, penyanyi berkenaan menayangkan video muzik lagu Belahan Hati, yang juga kesinambungan dua lagu terdahulu, khas buat peminatnya.

Bermula dengan pelancaran lagu dan video muzik Andainya Takdir, pada September 2016, dia seterusnya memperkenalkan lagu dan video muzik Cinta Takkan Berakhir pula, awal tahun lalu.

“Alhamdulillah, lengkap sudah penceritaan dan kesinambungan bagi jalan cerita lagu Andainya Takdir, Cinta Takkan Berakhir dan Belahan Hati.

“Pihak Anuar Zain Network pula secara istimewa menghadiahkan tayangan video muzik Belahan Hati untuk mereka yang datang ke konsert di Singapura ini.

“Insya-Allah, ia akan dikongsi di laman YouTube tidak lama lagi. Kami akan mengumumkannya di Instagram dan Facebook rasmi saya nanti,” katanya kepada BH Online.

Menerusi tiga video muzik arahan Amor Rizan itu, Anuar berlakon di samping pelakon berbakat, Sharifah Sakinah, yang memegang watak isterinya.

Selain Sakinah, video muzik terbabit turut menampilkan Syafiq Nazri, Eyra Hazali dan Puteri Balqis. Menerusi video muzik terakhir pula, bintang handalan, Faizal Hussein, turut diundang menjayakannya.

“Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja pengarah dan pelakon. Mereka mempamerkan mutu lakonan yang amat baik.

“Malah, saya berterima kasih kerana pelakon yang terbabit kerana begitu menghormati keputusan kami supaya tidak membocorkan apa sahaja maklumat berkaitan pembikinan video muzik ini. Semuanya bersifat rahsia dan kejutan untuk peminat,” katanya.

Pada konsert anjuran Hype Records malam tadi, Anuar mengulangi magis tiga tahun lalu selepas diundang buat kali kedua beraksi di lokasi sama.

Menyarung tiga persalinan rekaan Rizman Ruzaini sepanjang persembahan berlangsung, Anuar menghiburkan penonton dengan 15 lagu. Malah, dia turut menyanyikan lagu, Seribu Tahun, dendangan asal artis seberang tambak, Imran Ajmain.

“Ernie (Zakri) yang sebenarnya mencadangkan saya mendengar lagu Seribu Tahun itu. Ia bagai dekat dengan perjalanan hidup saya yang pernah menempuhi pelbagai dugaan dan pengalaman,” katanya.

Konsert yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 3,000 peminat itu turut disaksikan kakaknya, Ziana Zain dan penyanyi terkenal Singapura, Taufik Batisah.

Berita Harian X