Jumaat, 26 Oktober 2018 | 6:06pm
PENYANYI, Wani, kini mahu dirinya dikenali sebagai Wani Syaz. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

'Panggil saya Wani Syaz'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wani, yang baru saja muncul dengan single terbaru, Pendusta Cinta, kini mahu dikenali sebagai Wani Syaz.

Menurut Wani atau nama sebenarnya Nur Syazwani Selamat, 23, penjenamaan semula dirinya perlu dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan peminat.

“Saya akui, ada beberapa penyanyi lain yang turut menggunakan nama pangkal Wani dan ia sedikit sebanyak mengelirukan banyak pihak.

“Ada orang yang pernah memanggil saya dengan nama Wany Hasrita, dan begitulah sebaliknya. Apabila perkara sebegitu berlaku, saya rasa kasihan pula pada Wany.

“Bagaimanapun, saya tidaklah berkecil hati atau marah. Namun, bagi mengelakkan perkara sama berulang, saya memutuskan untuk membuat penjenamaan semula terhadap nama saya menjadi Wany Syaz. Nama itu pun diambil daripada nama penuh saya,” kata artis bertudung ini kepada BH Online.

Sebelum ini, penyanyi kecil molek berkenaan mendapat beberapa nama gelaran seperti Wani GGV, Wani Alhamdulillah dan Wani Lepaskan.

Penyanyi berasal dari Batu Pahat, Johor, ini juga berkata, perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap popularitinya walaupun sudah lima tahun bergiat dalam bidang seni.

“Saya akui, faktor nama turut memberi kesan terhadap populariti apabila ramai yang belum mengenali saya.

“Selain itu, saya juga belum mempunyai lagu yang dirasakan cukup kuat untuk membolehkan orang ingat kehadiran saya dalam bidang ini,” ujar Wani yang pernah menyertai program realiti, Gema Gegar Vaganza (GGV) musim pertama.

Sementara itu, Pendusta Cinta yang turut menampilkan Waris, semakin mendapat perhatian peminat walaupun pernah berdepan kontroversi apabila tindakan Wani menari dalam video muzik lagu berkenaan mendapat kecaman netizen.

Sehingga kini, video muzik lagu itu sudah pun ditonton lebih 8.8 juta kali sejak ia dikongsi di laman YouTube pada 20 Julai lalu.

Berita Harian X