Selasa, 23 Oktober 2018 | 4:24pm
PENYANYI, Nourul Wahab Depp. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Nourul tak rela jadi artis bermusim

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nourul Wahab Depp, tetap dengan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana pertandingan nyanyian.

Kata artis yang dikenali dengan lagu Kerana Terluka itu, dia sudah penat menjawab pertanyaan peminat yang ingin tahu apakah dirinya berminat untuk berentap dalam pertandingan.

Mengaku kekurangan diri selain berasakan tidak perlu untuk memuaskan hati mana-mana pihak, Nourul sebaliknya selesa berkongsi bakat seni dengan menjayakan persembahan.

“Saya faham bagaimana cintanya anda semua (peminat) kepada nyanyian dan bakat ini. Saya amat faham, penyokong nak tunjuk bagaimana hebat penyanyi kesayangan mereka bertanding pada sesebuah pertandingan.

“Saya tak hebat dan masih belajar. Saya juga ada pendirian. Maafkan saya kerana tak dapat memenuhi permintaan dan kemahuan anda semua.

“Saya lebih suka membuat persembahan dan bukan bertanding. Ingat, jenama sesebuah program yang sudah terkenal ada musimnya. Saya tak mahu jadi artis bermusim,” kongsinya di laman sosial Instagram, hari ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui, dia pernah dihulurkan tawaran menyertai pertandingan seperti Gegar Vaganza (GV) dan The Voice di Perancis.

“Tidak semestinya seorang artis perlu menyertai pertandingan dianjurkan. Ada sesetengah program, pihak produksi tidak mahu memilih artis tertentu dan begitulah sebaliknya.

“Saya hormati semua program TV dan radio di Malaysia kerana banyak menyokong kerjaya saya dari awal hingga ke hari ini.

“Sejak musim kedua lagi, pihak produksi GV ada bertanya, sama ada saya mahu menyertainya atau tidak? Tapi saya menolak. Pertandingan The Voice pun saya tolak dengan baik,” ujarnya sambil menyatakan tidak kisah untuk menjayakan pertandingan lagu.

Menurut Nourul, dia berpendirian sedemikian bukan hendak menunjukkan kehebatannya, malah sedar kemampuan diri.

“Saya punya prinsip dan perancangan. Saya harap, jangan tanya lagi fasal ini. Kalau ada persembahan, datanglah tengok. Insya-Allah selepas bersalin tahun depan, saya merancang untuk menganjurkan sebuah persembahan. Masa itu, saya harap peminat akan datang,” katanya yang kini turut terbabit dengan aktiviti amal bersama rumah kebajikan Nurhati.

312 dibaca
Berita Harian X