Ahad, 21 Oktober 2018 | 12:56pm
BINTANG utama filem Hero, Hisyam Hamid (kiri) dan Sharnaaz Ahmad yang memegang watak utama dalam drama rantaian Hero yang ditayangkan dua tahun lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor/Saifullizan Tamadi

Hisyam 'ganti' Sharnaaz kerana cerita berbeza - Penerbit

KUALA LUMPUR: Penerbit, Darling Ngasri, menjelaskan filem Hero memaparkan cerita berbeza walaupun masih mengekalkan judul sama dengan drama mengenai anggota bomba yang pernah menemui penonton, kira-kira dua tahun lalu.

Justeru, katanya, tidak timbul isu pelakon asal drama terbabit, Sharnaaz Ahmad, digugurkan daripada projek filem berkenaan gara-gara wujudnya perselisihan faham.

Menurut Darling yang juga seorang pelakon, mereka mengekalkan judul sama kerana filem itu masih memaparkan kisah pengorbanan anggota bomba.

“Isu pelakon asal digugurkan tidak timbul langsung kerana cerita yang diangkat ke filem berbeza dengan apa yang dipaparkan dalam drama. Namun, kita masih mengangkat kisah anggota bomba, sebab itu tajuknya dikekalkan.

“Ia sebuah cerita berlainan. Saya bimbang penonton akan keliru dengan versi drama, jadi atas alasan itu kita tampilkan Hisyam Hamid sebagai bintang utama.


PENERBIT filem Hero, Darling Ngasri. - Foto Rohanis Shukri

“Lagipun, dia sendiri bekas anggota bomba. Begitu juga dengan Syafiq Farhan, walaupun masih baharu, dia juga mempunyai latar belakang sama,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem terbitan NS Star Sdn Bhd itu, di sini.

Melihat sambutan diberikan kepada karya bercorak aksi seperti Polis Evo dan Paskal, Darling berharap filem sulung terbitannya itu juga akan mendapat sokongan sama, apatah lagi drama berkenaan mempunyai pengikut sendiri selain mendapat rating yang baik sewaktu disiarkan dulu.

Bagaimanapun, Darling menyandarkan pada genre gabungan komedi aksi bagi memancing penonton untuk ke panggung apabila Hero ditayangkan nanti.

“Saya mengambil masa selama setahun untuk mengubah skripnya. Bagi mencari kelainan, hampir 10 kali juga naskhah asalnya ditukar.

“Saya juga berharap, Hero dapat diklasifikasikan sebagai filem untuk tontonan seisi keluarga. Ketika skripnya dihasilkan, saya banyak berpandukan kepada Abang Long Fadil dan Polis Evo kerana mahu suntikan unsur komedi di dalamnya,” katanya.

Menjalani penggambaran selama hampir sebulan, Darling menjangkakan filemnya itu dapat menemui penonton di pawagam pada suku ketiga tahun depan.

Sementara itu, dia berkata, drama Hero akan disambung sebanyak 26 episod lagi bagi siaran musim kedua, tahun depan. Selain itu, Darling juga akan menerbitkan drama rantaian, Sesegar Nilofa, yang bakal menjalani penggambaran di Eropah, bulan depan.

Berita Harian X