Jumaat, 19 Oktober 2018 | 9:29pm

Khai abadi 18 trofi di rak pemberian peminat

Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Khai Bahar, menyimpan 18 trofi dimenangi sepanjang dua tahun menjadi penyanyi di rak pemberian peminat.

Abadi 18 trofi kemenangan di dua rak khas di rumah, dengan satu daripadanya pemberian peminat

Khai merancang majlis ramah mesra bersama peminat pada Disember depan bagi menghargai sokongan mereka

Berazam untuk terus memperbaiki vokal, termasuk menerusi usaha sendiri

Belum mampu merungkai persoalan angka tiga dalam single terbaru, #123


KHAI Bahar berjaya mempertahankan trofi Penyanyi Penyanyi Lelaki Popular yang dimenangi pada ABPBH 3.0, tahun lalu. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Dua tahun berkecimpung dalam arena seni suara, Khai Bahar boleh dianggap cemerlang apabila mampu menggenggam 18 trofi hasil sokongan dan undian peminat, dalam tempoh yang singkat.

Kerjaya anak muda kelahiran Perlis ini juga bersinar cerah dengan sokongan tidak berbelah bahagi kelab peminatnya, Khai Bahar Empire.

Bercerita mengenai trofi yang dimenangi, Khai memberitahu, semuanya disusun cantik di dua rak khas di rumahnya.

“Memang 18 trofi itu saya susun di rak di rumah. Mulanya, saya mempunyai sebuah rak sahaja. Kemudian, saya menerima sebuah lagi rak sama hasil pemberian peminat. Jadi, saya gunakan dua rak terbabit untuk meletakkan semua trofi yang dimiliki.

“Memandangkan trofi saya miliki ini juga hasil undian dan sokongan peminat, saya merancang untuk mengadakan sebuah majlis ramah mesra bersama mereka. Ia kemungkinan besar diadakan pada Disember depan.

“Saya akan turut membawa semua trofi itu pada majlis terbabit nanti. Ketika ini, tarikh tepat untuk majlis berkenaan belum ada. Semuanya masih dalam peringkat perbincangan,” katanya yang berhasrat dapat mengadakan acara terbabit di Kuala Lumpur.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan konsertnya bersama Siti Nordiana (Nana) pada tahun depan, Khai berkata, selain lagu solo sendiri, mereka juga akan mempersembahkan lagu duet.


Khai Bahar berduet dengan Siti Nordiana ketika membuat persembahan pada Malam Simfoni Desa Tercinta di Karnival Usahawan Desa Dewan Merdeka, PWTC . - NSTP/Aswadi Alias

“Setakat ini, saya sendiri sudah mempunyai lapan single. Kak Nana juga bersetuju untuk berduet dengan saya dalam konsert itu. Jadi, memang ada lagu duet baharu nanti. Selain itu, kami juga dijangka menyanyikan lagu duetnya bersama arwah Achik,” kata Khai.

Ketika ini, lagu duet Khai dan Nana yang berentak balada masih menunggu waktu sesuai untuk dirakamkan.

Mengulas mengenai kritikan masih diterima terhadap nyanyiannya, Khai yang pernah belajar vokal dengan Datuk Syafinaz Selamat berkata, dia cuba memperbaiki kelemahannya dengan menonton persembahan atau konsert artis lain di YouTube.

“Dulu, memang saya pernah belajar dengan Datuk Syafinaz. Sekarang, kekangan masa membuatkan saya tak menang tangan. Saya bagaimanapun masih berusaha memperbaiki mutu vokal secara sendiri. Saya selalu tengok konsert atau persembahan penyanyi lain di YouTube.

“Malah, saya juga menonton persembahan sendiri dan komen yang dilemparkan membolehkan saya memperbaiki kelemahan yang ada, dari semasa ke semasa,” katanya.


PENYANYI, Khai Bahar. - Foto NSTP/Mohad Shahril Badri Saali

Ditanya pula mengenai maksud sebenar angka tiga dalam single terbaru, #123, ciptaannya bersama Patrick Anohada, Khai memilih untuk terus berahsia.

“Kalau dilihat pada liriknya, memang saya sebut angka satu dan dua sahaja. Angka tiga dibiar tergantung tanpa disebut. Peminat juga tertanya-tanya mengenai angka tiga. Bagaimanapun, saya belum bersedia untuk memberitahu maksud sebenar di sebalik angka tiga itu.

“Cuma, ketika ditemubual oleh Neelofa dan Nabil Ahmad dalam sebuah program baru-baru ini, ada peminat yang ambil serius mengenai jawapan saya mengenai angka tiga itu. Saya pun jadi ‘blur’, tak tahu nak jawab apa. Buat lawak pun macam tak sampai.

“Jadi, biarlah peminat cari jawapan mereka sendiri. Mungkin peminat yang mampu meneka dengan tepat maksud angka tiga itu akan menerima hadiah daripada saya,” katanya.

Berita Harian X