Khamis, 18 Oktober 2018 | 11:37am
SYAFIQ berhasrat merakamkan album penghargaan untuk arwah bapanya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Arwah mahu saya buktikan bakat sebelum berduet'

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Syafiq Farhain terharu apabila mendapat tahu bapanya, Allahyarham Saleem pernah meluahkan hasrat mahu berduet dengannya.

Meskipun tidak kesampaian, Syafiq, 24, berkata, hasrat yang diluahkan arwah ayahnya kepada kenalan rapat keluarganya sudah cukup membuat dirinya gembira.

"Ingatkan arwah tidak mahu menyanyi dengan saya, rupa-rupanya arwah pernah menyimpan hasrat untuk kami berkongsi pentas dan merakamkan lagu duet.

"Cuma, arwah terlebih dahulu ingin melihat sama ada saya betul-betul serius menyanyi atau sebaliknya,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem Hero, di sini, malam tadi.

Pada pertemuan itu, Syafiq turut meluahkan hasrat merakamkan semula lagu nyanyian arwah ayahnya yang kurang dikenali sebagai tanda penghargaan.

Bukan sekadar single, sebaliknya Syafiq merancang sebuah album khas sebagai kenangan kepada peminat setia Saleem.

"Banyak lagu Iklim dan Saleem yang saya suka sejak kecil. Kalau boleh, saya mahu merakam semula lagu nyanyiannya yang kurang dikenali.

“Insya-Allah, kalau ada peluang saya mahu merakamkan single baharu khusus untuk arwah.

"Saya sukakan lirik yang puitis kerana mahu pendengar merasai apa yang saya cuba sampaikan. Seperti lagu nyanyian arwah ayah, saya juga mahukan sentuhan sama tetapi dinyanyikan dengan cara sendiri,” katanya.

Saleem atau nama sebenarnya, AM Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir, 14 Oktober lalu pada usia 57 tahun selepas terbabit dalam kemalangan motosikal.

Berita Harian X