Selasa, 16 Oktober 2018 | 11:53am
PENYANYI, Haikal Farid, kini tampil bersama single baharu ciptaan Asfan Shah dan Fedtri Yahya, Demam Cinta. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

Haikal bangkit semula dengan Demam Cinta

KUALA LUMPUR: Kegagalan single terdahulu tidak pernah melunturkan semangat bakat baharu, Haikal Farid, untuk mencipta nama sebagai penyanyi.

Selepas lagu nyanyiannya sebelum ini kurang membuahkan hasil, kini remaja berusia 19 tahun itu boleh menarik nafas lega apabila single terbarunya, Demam Cinta, mendapat sambutan memberangsangkan daripada penggemar muzik.

Diterbitkan oleh Blackbeast Entertainment dan Rusa Music, karya berkenaan hasil ciptaan Asfan Shah dengan lirik hasil nukilan komposer terbabit bersama Fedtri Yahya.

“Saya percaya, semua pengalaman dikutip sebelum ini adalah proses yang lebih mematangkan saya sebagai penyanyi.

“Saya juga bersyukur apabila dipertemukan dengan Fedtri yang memperkenalkan saya kepada Asfan, sekitar Januari lalu. Seterusnya, Demam Cinta dirakamkan pada April dan mula dipromosikan sekitar Ogos lalu. Lagu berentak rancak ini turut menampilkan Asfan,” katanya.

Haikal yang pernah muncul dengan single Genggam dan Waktu Terindah mengaku, pada awalnya dia berasa pelik membawakan lagu berentak pop.

“Selepas diperdengarkan Asfan dengan lagu ini, awalnya saya berasa agak pelik kerana tidak pernah membawakan genre sebegitu. Namun selepas dinyanyikan, rasa sesuai pula.

“Ketika ini, kami giat memperkenalkan lagu terbabit kepada peminat dan kami juga lega apabila video muziknya di laman YouTube sudah meraih lebih 400,000 tontonan sejak dikongsi penghujung Ogos lalu,” katanya yang menggemari muzik dibawakan oleh Ed Sheeran.

Demam Cinta juga dipilih sebagai lagu runut bunyi telefilem, Formula Cinta, yang menemui penonton ntv7, baru-baru ini.

Berita Harian X