Ahad, 14 Oktober 2018 | 3:15pm
HAZAMA mengakui begitu terkesan dengan berita pemergian Saleem. - Foto Syarafiq Abd Samad

Arwah Saleem inspirasi Hazama

KUALA LUMPUR: Pemergian bekas vokalis kumpulan Iklim, Allahyarham Saleem turut dirasai Hazama yang menyifatkan, pembabitannya dalam industri seni bermula selepas mendapat inspirasi daripada penyanyi yang digelar Raja Balada itu.

Hazama berkata, walaupun mereka jarang berjumpa ketika hayat arwah masih ada, jiwa dan muzik penyanyi itu sentiasa dekat di hatinya.

"Ini adalah antara hari yang sedih untuk saya. Walaupun tidak selalu berjumpa, abang Saleem sentiasa berada dalam hati ini. Abang Saleem antara faktor yang membuatkan saya berada dalam industri muzik.

"Terima kasih kerana menghiburkan kami selama ini. Terima kasih kerana menjadi inspirasi untuk kami," katanya.

Hazama berkata, meskipun jasadnya sudah tiada, nama arwah Saleem pasti setiap masa akan berada dalam ingatan masyarakat kerana lagu nyanyian penyanyi itu sentiasa meninggalkan kesan di hati ramai, terutama peminat setianya.

"Abang sentiasa dalam hati kami. Tenanglah di sana dan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya.

Pemergian Saleem turut mendapat liputan media Indonesia yang berkongsi berita duka itu. Ketika hayatnya, Saleem bersama Iklim pernah mencetus fenomena di negara itu apabila lagu Suci Dalam Debu mendapat sambutan hangat peminat Indonesia.

Berita Harian X